Terkini
Bekalan sayur di Johor mencukupi menjelang Ramadan
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memberi jaminan bahawa bekalan sayur di Johor menjelang Ramadan adalah mencukupi, walaupun beberapa daerah di negeri ini masih dilanda banjir.
- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) beri jaminan bahawa bekalan sayur di Johor menjelang Ramadan adalah mencukupi, walaupun beberapa daerah di negeri ini masih dilanda banjir.
- Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sudah ambil langkah membawa masuk bekalan makanan itu luar dari negeri ini bagi pastikan permintaan pada Ramadan dapat dipenuhi.
- “Bekalan ini kita dapat dari Pasar Borong Selayang, dari Negeri Sembilan pun ada, selain import dari Cameron Highlands terutamanya tomato dan sayur-sayur berbentuk biji bukan berdaun,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Nelayan Pengerang di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pengerang di sini, semalam.
Pengerang: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memberi jaminan bahawa bekalan sayur di Johor menjelang Ramadan adalah mencukupi, walaupun beberapa daerah di negeri ini masih dilanda banjir.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sudah mengambil langkah membawa masuk bekalan makanan itu luar dari negeri ini bagi memastikan permintaan pada Ramadan dapat dipenuhi.
“Insya-Allah (bekalan sayur mencukupi menjelang Ramadan) kerana Fama sudah maklumkan bahawa kita sudah bawa masuk dari tempat-tempat lain bagi memenuhi permintaan pada Ramadan.
“Bekalan ini kita dapat dari Pasar Borong Selayang, dari Negeri Sembilan pun ada, selain import dari Cameron Highlands terutamanya tomato dan sayur-sayur berbentuk biji bukan berdaun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Nelayan Pengerang di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pengerang di sini, semalam.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut Mohamad, walaupun pengeluaran sayur menunjukkan penurunan 30 peratus akibat banjir, namun dalam tempoh pasca banjir, pengeluar sudah mula menanam semula sayur.
Beliau berkata, Fama turut bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyediakan Bazar Rakyat Agro Johor di 35 lokasi yang terjejas banjir.
“Hasil pertemuan Fama dengan pengeluar-pengeluar terutamanya di Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi, memang ada sedikit penurunan pengeluaran sebanyak 30 peratus.
“Tetapi, banjir pun sudah surut, mereka sudah mula tanam balik. Ditambah pula dengan kerjasama kerajaan negeri yang memberi peruntukan untuk mengadakan Bazar Rakyat Agro Johor di kawasan terjejas banjir selama 30 hari sepanjang Ramadan ini,” katanya.
Ditanya berkaitan anggaran kerugian yang ditanggung akibat banjir, beliau berkata, bancian masih dijalankan Fama dan ia dijangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk mendapatkan perincian penuh.
Berkaitan program berkenaan, Mohamad berkata, kerajaan memperuntukkan RM29 juta bagi menaik taraf infrastruktur di Kompleks LKIM Pengerang bagi kegunaan nelayan setempat dan projek itu dijangka siap tahun depan.
“Selain itu, pada siri lawatan ini, kita turut menyampaikan bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) kepada 408 nelayan berjumlah keseluruhan RM122,400.
“Kita juga menyampaikan lesen sampan khas kepada 47 nelayan kategori A di Johor serta bantuan banjir RM200, bakul makanan selain bantuan jaket keselamatan kepada 465 nelayan Pengerang,” katanya.
Sumber: Harian Metro