Terkini
Babitkan rakyat dalam program bantuan, bukan hanya minta peruntukan – Rafizi Ramli
Pemimpin di negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) diminta bekerjasama untuk membabitkan rakyat miskin tegar dan B40 dalam program bantuan yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan, bukan hanya memohon peruntukan demi peruntukan.
- Peruntukan berkenaan sebenarnya sudah ada, mana melalui Belanjawan 2023, sehingga 50 peratus perbelanjaan pembangunan asas diperuntukkan kepada negeri termiskin di Malaysia, iaitu Sabah, Sarawak, Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli
- “Sebab itu saya syorkan, lebih baik bekerjasama menyambut usaha kerajaan Persekutuan kerana peruntukan sudah diberikan, program sudah ada dan sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri yang dikawal PN memastikan perancangan ekonomi di peringkat negeri itu sama baik, bukan hanya memohon peruntukan demi peruntukan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
- Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai usaha kerajaan kurangkan jurang pendapatan antara negeri kaya dan miskin serta pendirian kerajaan dalam kurangkan kesenjangan pembangunan ekonomi jika pembangunan ‘game changer’ negeri tidak diluluskan kerajaan Persekutuan.
KUALA LUMPUR: Pemimpin di negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) diminta bekerjasama untuk membabitkan rakyat miskin tegar dan B40 dalam program bantuan yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan, bukan hanya memohon peruntukan demi peruntukan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata peruntukan berkenaan sebenarnya sudah ada, yang mana melalui Belanjawan 2023, sehingga 50 peratus perbelanjaan pembangunan asas diperuntukkan kepada negeri termiskin di Malaysia, iaitu Sabah, Sarawak, Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Memberi contoh Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan baru-baru ini, seramai 22,209 orang daripada golongan miskin tegar dan B40 memohon dalam program itu, namun jumlah pemohon di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang ditadbir PN amat rendah, berbanding negeri lain.
“Sebab itu saya syorkan, lebih baik bekerjasama menyambut usaha kerajaan Persekutuan kerana peruntukan sudah diberikan, program sudah ada dan sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri yang dikawal PN memastikan perancangan ekonomi di peringkat negeri itu sama baik, bukan hanya memohon peruntukan demi peruntukan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang pendapatan antara negeri kaya dan miskin serta pendirian kerajaan dalam mengurangkan kesenjangan pembangunan ekonomi jika pembangunan ‘game changer’ negeri tidak diluluskan kerajaan Persekutuan.
Rafizi berkata, beliau sudah meminta kementeriannya mengadakan mesyuarat khusus dengan seluruh kepemimpinan di 20 daerah termiskin di seluruh negara.
“(Pemimpin) daerah ini, yang ada sebahagiannya di Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan dipanggil untuk berbincang dengan saya supaya mereka membantu keluarga untuk mengambil peluang dan potensi yang disediakan kerajaan dan bekerjasama dengan kerajaan untuk membasmi kemiskinan,” katanya.
Sumber: Berita Harian