Terkini
KKD tidak kekang kebebasan media lapor berita – Fahmi
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak akan mengekang kebebasan pengamal media di negara ini untuk melaporkan berita.
- Kebebasan itu bagaimanapun harus dimanfaatkan berlandaskan pada syarat lesen dan undang-undang negara ini. – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil
- Beliau berkata perkara itu penting dipatuhi semua pengamal media bagi elakkan penyebaran fitnah dan maklumat tidak sahih.
- “Peringatan kepada semua pengamal media, juga orang awam, kita (KKD) tidak kekang atau halang hak media untuk membuat sebarang laporan, hak media untuk menulis, tapi kekangannya yang pertama ialah dari segi syarat terkandung dalam lesen.
- “Kedua adalah undang-undang sedia ada di negara ini yang perlu dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan drama bersiri 26 episod bertajuk Cyber999 bagi siaran RTM, di Angkasapuri, semalami.
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak akan mengekang kebebasan pengamal media di negara ini untuk melaporkan berita.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata kebebasan itu bagaimanapun seharusnya dimanfaatkan berlandaskan kepada syarat lesen dan undang-undang negara ini.
Beliau berkata, perkara itu penting untuk dipatuhi semua pengamal media bagi mengelakkan penyebaran fitnah dan juga maklumat tidak sahih.
“Peringatan kepada semua pengamal media, juga orang awam, kita (KKD) tidak kekang atau halang hak media untuk membuat sebarang laporan, hak media untuk menulis, tapi kekangannya yang pertama ialah dari segi syarat terkandung dalam lesen.
“Kedua adalah undang-undang sedia ada di negara ini yang perlu dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan drama bersiri 26 episod bertajuk Cyber999 bagi siaran RTM, di Angkasapuri, semalami.
Pada 21 Februari lalu, media melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka kertas siasatan terhadap stesen televisyen Awesome TV kerana kegagalan mematuhi peraturan lesen susulan satu laporan berita yang disifatkan sebagai tidak benar.
Siasatan terhadap laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan itu dibuat mengikut Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, iaitu kegagalan mematuhi syarat lesen.
Mengenai situasi banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini, Fahmi berkata, beliau telah mengarahkan SKMM supaya memastikan capaian internet yang baik di setiap pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, pemantauan rapi juga dibuat bagi mengenal pasti mana-mana menara telekomunikasi yang terkesan akibat banjir untuk segera dibaik pulih.
“Kita perlu teliti dan segera kerana isu yang kita lihat ialah tempat yang mungkin sebelum ini tidak berlaku banjir, tetapi kali ini dinaiki air,” katanya.
Lima negeri dilanda banjir berikutan hujan berterusan ialah Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka.
Sumber: BERNAMA