Antarabangsa
Rusuhan di India berterusan susulan dokumentari BBC ‘The Modi Question’
Kontroversi susulan satu dokumentari baharu sedang berlaku di India dengan British Broadcasting Corporation (BBC) menerima kecaman keras daripada pihak kerajaan.

- Kontroversi susulan satu dokumentari baharu sedang berlaku di India dengan British Broadcasting Corporation (BBC) menerima kecaman keras pihak kerajaan.
- Pegawai cukai dari India menyerbu pejabat penyiaran itu di negara terbabit berhubung siri dokumentari dua bahagian tentang Perdana Menteri India Narendra Modi.
- Dokumentari bertajuk India: the Modi Question menceritakan tentang hubungan di antara Modi dengan kumpulan minoriti Muslim di negara itu.
- Serbuan itu berlaku beberapa minggu selepas dokumentari itu disiarkan, sekaligus menimbulkan kebimbangan dan tuduhan ugutan.
Kontroversi susulan satu dokumentari baharu sedang berlaku di India dengan British Broadcasting Corporation (BBC) menerima kecaman keras daripada pihak kerajaan.
Minggu lalu, pegawai cukai dari India menyerbu pejabat penyiaran itu di negara terbabit berhubung siri dokumentari dua bahagian tentang Perdana Menteri India, Narendra Modi di mana ia mencetuskan kecaman daripada aktivis bebas akhbar yang telah lama mengkritik pemerintahan pemimpin itu.
Dokumentari bertajuk India: the Modi Question menceritakan tentang hubungan di antara Modi dengan kumpulan minoriti Muslim di negara itu.
Serbuan itu yang berlaku beberapa minggu selepas dokumentari itu disiarkan, menjelang pilihan raya kecil pada Februari, menimbulkan kebimbangan dan tuduhan ugutan.
Dokumentari itu pertama kali ditayangkan di United Kingdom pada Januari lalu dan menjadi subjek kontroversi dalam kalangan penyokong Modi di India.
Sejak Modi menjadi Perdana Menteri India pada 2014, Kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinannya dituduh menjalankan dasar berteraskan Hindu yang mendiskriminasi 200 juta Muslim sebagai sebahagian agenda nasionalis sayap kanan.
Pengkritik menyifatkan dasar itu telah menjauhkan India daripada dasar sekularnya, demikian lapor news.com.au.
Episod pertama dokumentari itu menceritakan satu tuduhan pada 2002, semasa Modi menjadi Ketua Menteri Gujarat dan 60 jemaah Hindu terbunuh apabila gerabak kereta api mereka dibakar.
Muslim dipersalahkan dan menyebabkan berlakunya pertumpahan darah apabila pelampau Hindu menyerang rumah penganut Islam di seluruh negeri. Lebih 1,000 orang, kebanyakannya Muslim, terbunuh dalam rusuhan itu.
Dokumentari itu turut memaparkan laporan sulit kerajaan UK selepas rusuhan itu yang menunjukkan Modi bertanggungjawab atas keganasan berlaku dan menyifatkan rusuhan tersebut sebagai ‘penghapusan etnik’.
Dokumentari itu turut menampilkan temu bual bersama Jack Straw, Setiausaha Luar UK pada masa itu, yang mendakwa Modi memainkan peranan yang penting dalam menarik semula penglibatan pihak polis dan dalam diam menggalakkan pelampau Hindu.
Kerajaan India melabelkan dokumentari itu sebagai propaganda dan “sampah anti-India yang menyamar sebagai dokumentari”.
Mereka menuduh BBC menyampaikan agenda anti kerajaan dan meneruskan pemikiran penjajah selain mendakwa tuduhan ke atas Modi bersifat berat sebelah dan tidak mempunyai objektif.
BBC berkata dokumentari itu “dikaji dengan teliti mengikut standard editorial tertinggi” berikutan kontroversi penyokong Modi.
Serbuan di pejabat BBC berterusan sehingga Khamis lalu dan penyiar dokumentari itu mengesahkan ramai kakitangan kini meninggalkan bangunan berkenaan.
“Pihak Berkuasa Cukai Pendapatan kekal di pejabat BBC di New Delhi dan Mumbai. Ramai kakitangan meninggalkan bangunan tetapi ada di antara mereka yang diminta untuk kekal dan terus bekerjasama dengan siasatan yang sedang dijalankan,” demikian ciapan BBC di Twitter.
Sumber: news.com.au
