Terkini
Dua ahli perniagaan gagal rayuan halang tulisan Jawi di papan tanda premis
Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Kerajaan Pahang tidak menyalahi undang-undang atau membuat keputusan yang tidak rasional dan tidak munasabah berhubung arahan pelaksanaan tulisan Jawi di premis perniagaan bagi kawasan perbandaran itu, demikian diputuskan Mahkamah Rayuan hari ini.
- Majlis Perbandaran Kuantan dan Kerajaan Pahang tak menyalahi undang-undang atau buat keputusan tidak rasional dan munasabah berhubung pelaksanaan tulisan Jawi di premis perniagaan bagi kawasan itu.
- Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Yaacob Md Sam bersama-sama Hakim Datuk P Ravinthran dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan dasar itu tidak bertentangan Perkara 8 (kesamarataan) dan Perkara 5 (kebebasan diri) Perlembagaan Persekutuan.
- Kedua-dua perayu fail permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan dengan memohon perisytiharan Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan menyalahi Perkara 8 Perlembagaan atas alasan halang akses rakyat kepada keadilan dan fasal itu juga bersifat arbitrari.
- Mereka mohon perintah supaya pihak berkuasa tempatan batalkan arahan bertarikh 3 April 2019 yang arah semua perniagaan dalam bidang kuasanya paparkan tulisan Jawi pada papan tanda perniagaan.
- “Saya tidak nampak bagaimana perkataan Jawi boleh menindas rakyat… ia adalah salah satu identiti nasional kita,” – peguam, kerajaan Pahang.
PUTRAJAYA: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Kerajaan Pahang tidak menyalahi undang-undang atau membuat keputusan yang tidak rasional dan tidak munasabah berhubung arahan pelaksanaan tulisan Jawi di premis perniagaan bagi kawasan perbandaran itu, demikian diputuskan Mahkamah Rayuan hari ini.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Yaacob Md Sam bersama-sama Hakim Datuk P Ravinthran dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga memutuskan bahawa dasar itu tidak bertentangan Perkara 8 (kesamarataan) dan Perkara 5 (kebebasan diri) Perlembagaan Persekutuan.
Panel itu menyatakan demikian dalam keputusan sebulat suara ketika menolak rayuan dua ahli perniagaan dari Kuantan, Jehan Abdullah dan A Dana Palan yang mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan pihak berkuasa tempatan mengarahkan setiap papan tanda kedai memaparkan tulisan Jawi.
Yaacob yang membacakan penghakiman, berkata hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Zainal Azman Ab Aziz yang menolak semakan kehakiman perayu tidak melakukan sebarang kesilapan yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
“Dengan itu, kami menolak rayuan ini dan perintah Mahkamah Tinggi disahkan,” katanya.
Sementara itu, mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos kerana kes berkenaan membabitkan kepentingan awam.
Kedua-dua perayu memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan dengan memohon perisytiharan bahawa Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan menyalahi Perkara 8 Perlembagaan atas alasan menghalang akses rakyat kepada keadilan dan fasal itu juga bersifat arbitrari.
Peruntukan berkenaan menyatakan bahawa setiap lesen atau permit yang diberi tertakluk kepada syarat dan sekatan yang dirasakan wajar oleh pihak berkuasa tempatan, dan boleh dimansuhkan pada bila-bila masa tanpa perlu memberikan sebab.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu juga, perayu memohon Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berhubung tulisan Jawi yang dibuat pada 1 Mac 2018.
Mereka juga memohon perintah supaya pihak berkuasa tempatan membatalkan arahan bertarikh 3 April 2019 yang mengarahkan semua perniagaan dalam bidang kuasanya memaparkan tulisan Jawi pada papan tanda perniagaan.
Zainal dalam keputusannya pada 5 Ogos 2012, berkata, pemohon berhak membawa isu itu ke mahkamah, tetapi penyelesaiannya adalah menerusi pilihan raya, kerana ia membabitkan perkara dasar.
Katanya, pihak berkuasa negeri diberi kuasa untuk mengarahkan MPK memperkenalkan Jawi pada papan tanda kedai dan dasar oleh kerajaan negeri itu tidak boleh diganggu oleh mahkamah.
Dalam rayuan hari ini, MPK diwakili peguam Ong Siew Wan dan Datuk Saiful Edris Zainuddin bertindak bagi pihak Kerajaan Pahang manakala perayu diwakili peguam T Gunaseelan.
Terdahulu, dalam hujahannya, Gunaseelan berkata keputusan untuk mengenakan dasar itu belum diwartakan dan ia tidak berperlembagaan serta bertentangan Perkara 152 (kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Siew Wan berhujah, dasar memperkenalkan tulisan Jawi berkenaan tidak bersifat diskriminasi, yang mana ia hanya satu kaedah menulis dalam bahasa Melayu, bukannya satu bentuk bahasa.
Katanya, tiada sekatan untuk menggunakan bahasa lain dalam papan tanda perniagaan.
Sementara itu, Saiful Edris berkata, perayu tidak mempunyai locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) untuk memulakan semakan kehakiman kerana gagal menunjukkan bahawa mereka terjejas teruk disebabkan dasar itu.
“Perayu tidak mempunyai sebarang premis perniagaan di kawasan itu… jadi mengapa mereka kata mereka terjejas dengan perkara ini?
“Saya tidak nampak bagaimana perkataan Jawi boleh menindas rakyat… ia adalah salah satu identiti nasional kita,” katanya.
Sumber: Berita Harian