Connect with us

Terkini

Kekurangan guru di Sabah kritikal, kesatuan gesa KPM ambil anak jati negeri

Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan pengambilan guru dalam kalangan anak jati Sabah bagi mengisi kekurangan guru yang kritikal di negeri ini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Kekurangan guru di Sabah kritikal, kesatuan gesa KPM ambil anak jati negeri
Foto: Presiden KGKS, Mohd Kifflee Alli (Kanan)
  • Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah menggesa Kementerian Pendidikan mempertimbangkan pengambilan guru dalam kalangan anak jati Sabah bagi mengisi kekurangan guru yang kritikal di negeri ini.
  • Ia juga dapat menurunkan kadar pengangguran khususnya graduan dalam bidang pendidikan, di samping mengelakkan lebih ramai tenaga kerja Sabah berhijrah ke luar.

 

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan pengambilan guru dalam kalangan anak jati Sabah bagi mengisi kekurangan guru yang kritikal di negeri ini.

Presiden KGKS, Mohd Kifflee Alli, berkata ia juga dapat menurunkan kadar pengangguran khususnya graduan dalam bidang pendidikan, di samping mengelakkan lebih ramai tenaga kerja Sabah berhijrah ke luar.

Beliau berkata, isu pengangguran yang serius di negeri ini perlu dilihat secara holistik dan ditangani secara bersama oleh semua pihak yang mana satu daripadanya menerusi pembabitan KPM.

“Justeru, kami mencadangkan KPM segera melaksanakan tindakan serampang dua mata dengan mewujudkan permohonan khas jawatan guru kepada graduan anak jati negeri Sabah.

“KGKS juga memohon guru sudah dilantik kontrak (Contract Of Service) atau COS yang sedang berkhidmat dan masih berstatus kontrak dipermudahkan laluan mereka menjadi guru tetap sekiranya mempunyai kelayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KGKS, di sini, semalam.

Mohd Kifflee berkata berdasarkan data KGKS, terdapat 111 orang graduan di negeri ini yang memohon menjadi guru, manakala 74 orang calon yang sudah memohon COS pada 2021 namun tidak dipanggil untuk temu duga.

Katanya, kadar pengangguran di Sabah pada suku ketiga tahun lalu yang mencatatkan 8.2 peratus atau 174,200 orang termasuk graduan sektor pendidikan perlu dilihat secara serius.

“Kami tidak mahu lebih ramai bakat di negeri ini keluar berhijrah seperti apa yang berlaku pada 2020 apabila seramai 45,900 orang tenaga kerja Sabah dilaporkan oleh Kementerian Sumber Manusia berhijrah mencari peluang kerja di luar.

“Ini adalah fenomena penghijrahan individu berkemahiran tinggi yang sangat kronik bagi negeri ini,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian

Author