Antarabangsa
(VIDEO) Tiada guru di Uganda sebab tidak dibayar gaji

KUALA LUMPUR — Ketiadaan dana untuk membayar gaji tenaga pengajar di Uganda menyebabkan guru tidak hadir ke sekolah.
Situasi itu secara langsungnya juga menyebabkan anak-anak di negara tersebut tercicir daripada pembelajaran kerana tiada tenaga pengajar untuk mendidik mereka di sekolah, kata Aktivis Kemanusiaan, Naemah Rafiqul Islam.
“Apabila kami dibawa ke classroom mereka, Allah, reban ayam nenek kita lagi cantik… Papan tanda berlubang-lubang.
“Di kampung yang Naemah pergi ni, mereka ada tiga classroom… Ketiga-tiganya kalau ada angin kuat sikit memang terbang, dan dalam satu classroom tu ada classroom sangatlah kecil, tapi ada dalam 35 orang student yang duduk di bangku, berhimpit, duduk di lantai, tapi tetap semangat mereka (untuk) belajar,” katanya menerusi episod terbaru podcast Garis Krisis (GK) bertajuk, “Uganda, Penderitaan Yang Tidak Diendahkan”.
Podcast GK terbitan Studio Merdeka itu bersiaran di Youtube The Merdeka Times pada Sabtu lalu yang dihoskan petugas kemanusiaan, Lila Ruzaini Hussain.
Justeru, Naemah yang baru pulang dari misi kemanusiaan di negara dikenali sebagai “Mutiara Afrika itu berpendapat sekiranya kita mempunyai strategi dan sistem yang betul untuk menubuhkan sekolah serta cikgu dibayar gaji, anak-anak dari negara Uganda dilihat berupaya menjadi harapan buat negara berkenaan.
“Tujuan kita bukan nak bagi kemewahan pada anak-anak ini, tetapi nak bagi sebuah kemudahan… The basic needs of the children.
“At least, macam tiga buah kelas ni, kalau kita ada strategi yang betul, satu sistem yang betul untuk kita tubuhkan sekolah dan ada sistem di mana cikgu dibayar gaji, InsyaAllah anak-anak ni (akan) menjadi harapan kepada negara mereka sendiri dan bukan sahaja negara mereka, but of course we are Muslims kan… Mereka akan menjadi khalifah di masa akan datang,” katanya.
Nota Dasar UNICEF No 1/2024: Mengatasi Cabaran Pendidikan di Uganda merekodkan kira-kira satu daripada setiap empat kanak-kanak (6 hingga 18 tahun) tidak bersekolah, sama ada kerana mereka terlibat buruh kanak-kanak untuk membantu menyara keluarga atau kerana mereka kekal di rumah.
Turut direkodkan, sebanyak 83 peratus kanak-kanak tidak dapat membaca dan memahami teks yang sesuai usia mereka pada umur 10 tahun. — The Merdeka Times
