Terkini
KKM rangka langkah selesaikan isu-isu berbangkit sistem kesihatan – Dr Zaliha
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses merangka langkah-langkah bagi menyelesaikan isu berbangkit melibatkan situasi semasa sistem kesihatan negara, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
- Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata pendekatan bersasar dirancang itu melibatkan usaha menangani pelbagai isu soal kebajikan, kesihatan fizikal dan mental petugas kesihatan, penetapan gaji yang saksama serta jaminan pekerjaan.
- “KKM juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan bagi membentangkan perincian mengenai keperluan untuk mendapatkan peruntukan yang lebih besar meliputi aspek infrastruktur, digitalisasi sistem dan sumber manusia,” katanya.
- Pertemuan berkala dengan semua pihak berkepentingan juga akan dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas terutamanya dapatan daripada kakitangan di lapangan.
KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) — Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses merangka langkah-langkah bagi menyelesaikan isu berbangkit melibatkan situasi semasa sistem kesihatan negara, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata pendekatan bersasar yang dirancang melibatkan usaha menangani pelbagai isu termasuk soal kebajikan, kesihatan fizikal dan mental petugas kesihatan, penetapan gaji yang saksama serta jaminan pekerjaan.
“KKM juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan bagi membentangkan perincian mengenai keperluan untuk mendapatkan peruntukan yang lebih besar meliputi aspek infrastruktur, digitalisasi sistem dan sumber manusia,” katanya dalam catatan di Twitternya hari ini.
Katanya pertemuan berkala dengan semua pihak berkepentingan juga akan terus dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas terutamanya dapatan daripada kakitangan di lapangan.
“Ini termasuk bagi mengenal pasti penyelesaian jangka pendek dan panjang yang perlu diberi keutamaan dalam situasi sekarang. Sebahagian besar proses perubahan sistem kesihatan ini menuntut pendekatan merentasi agensi,” katanya.
“Semua perkara yang disebut juga merupakan sebahagian daripada pembaharuan dan keutamaan Kertas Putih Kesihatan yang akan dijadikan sebagai penanda aras kepada pelbagai reformasi sektor kesihatan pada masa akan datang,” tambahnya.
— BERNAMA
Sumber: Bernama