Connect with us

Terkini

Akibat video Bella tular saya dikecam, diugut bunuh – Siti Bainun

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, dia diugut bunuh, dicemuh serta hilang pendapatan sehingga hari ini, sejak kes pertuduhan terhadapnya tular.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Akibat video Bella tular saya dikecam, diugut bunuh - Siti Bainun
Foto: Siti Bainun
  • “Saya hilang pekerjaan, perniagaan makanan saya seperti dipulaukan. Pendek kata, saya hilang segala-galanya kerana tuduhan tidak berasas ke atas saya ini,” – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali
  • “Saya dapatkan rawatan di hospital pun, ada jururawat yang cuba bahayakan saya sehingga peguam terpaksa masuk campur untuk pastikan keselamatan saya”.
  • “Jika Zurianty berniat mahu selamatkan Bella, wanita itu tidak perlu bertindak babitkan ramai pihak dengan gunakan sentimen anak orang kurang upaya (OKU) untuk dapatkan perhatian masyarakat”.
  • “Saya tidak faham kenapa pegawai penyiasat boleh kata tidak ada keperluan untuk tengok dan dengar video yang jadi asas penyiasatan mereka,” katanya.

 

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, dia diugut bunuh, dicemuh serta hilang pendapatan sehingga hari ini, sejak kes pertuduhan terhadapnya tular.

Siti Bainun, 31, yang membacakan pernyataan saksi ketika sesi bela diri tanpa kehadiran peguam belanya petang ini, berkata, tindakan saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin menyebarkan video Bella, menjejas dan memusnahkan hidupnya.

“Saya dikecam dan diugut bunuh sejak daripada kes ini tular sehingga ke hari ini, hampir setiap masa.

“Saya juga dicemuh, dihina disebabkan tindakan Zurianty menyebarkan video Bella yang disunting.

“Rumah Bonda juga ditutup dan saya sudah pulangkan rumah yang saya ubah suai bagi tujuan keselesaan penghuninya dengan wang sumbangan.

“Saya hilang pekerjaan, perniagaan makanan saya seperti dipulaukan. Pendek kata, saya hilang segala-galanya kerana tuduhan tidak berasas ke atas saya ini,” katanya pada prosiding bela diri di sini, hari ini.

Disebabkan ugutan itu, katanya, dia takut untuk keluar rumah dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

“Saya dapatkan rawatan di hospital pun, ada jururawat yang cuba membahayakan saya sehingga peguam terpaksa masuk campur untuk pastikan keselamatan saya,” katanya.

Katanya, dia juga curiga dengan niat Zurianty yang juga rakannya itu merakam dan menyebarkan video itu kerana dia tidak pernah mengambil berat tentang Bella.

“Dia tidak pernah datang atau ambil tahu pun tentang Bella. Dia tidak pernah jaga, mandikan, suap dan tidak pernah bermain pun dengan Bella.

“Sebab itu, saya hairan bila tiba-tiba Zurianty muncul di rumah saya pada 24 Jun 2021 semasa saya memang terang-terang tidak ada di rumah.

“Jadi, apabila saya dapat makluman dia yang merakam video Bella dan saya dengar di mahkamah dia juga yang sebarkan kepada pihak lain, saya terkejut,” katanya.

Siti Bainun berkata, jika Zurianty berniat mahu menyelamatkan Bella, wanita itu tidak perlu bertindak membabitkan ramai pihak dengan menggunakan sentimen anak orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan perhatian masyarakat.

“Membantu Mona Din, membangkitkan kemarahan netizen untuk membenci saya, sedangkan Zurianty tahu kesannya. Saya akan dihina dan dicemuh seluruh rakyat Malaysia yang tidak pasti akan kebenarannya,” katanya.

Siti Bainun turut mempertikaikan, mengapa pegawai penyiasat tidak melihat atau mendengar video yang dirakamkan saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin.

“Kedua-dua pegawai penyiasat sendiri tidak mendengar pun dengan betul video yang dirakamkan Zurianty.

“Saya tidak faham kenapa pegawai penyiasat boleh kata tidak ada keperluan untuk tengok dan dengar video yang jadi asas penyiasatan mereka,” katanya.

Sebelum ini, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Siti Bainun pada Ogos tahun lalu, Zurianty mengakui merakam video Bella itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, untuk diberikan kepada seorang individu yang dikenali ‘Syed Azmi.”

Zurianty juga berkata, tujuan dia mengambil video itu untuk meyakinkan individu itu mengenai penderaan dilakukan terhadap Bella.

Terdahulu pagi tadi, Hakim Izralizam Sanusi membuat penetapan prosiding kes pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down, Bella, itu perlu diteruskan kerana tidak mahu lagi kes itu ditangguhkan selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella,13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

 

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *