Terkini
Siti Bainun kekal dipenjara 12 tahun, Rayuan akhir ditolak
- Keputusan sebulat suara panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Azman Abdullah, bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, menolak rayuan akhir Siti Bainun, 33.
- “Setelah meneliti keseluruhan keterangan diberikan pihak pendakwaan dan pembelaan, kami mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya atas kedua-dua pertuduhan, melampaui keraguan munasabah.
- “(Dan) perayu telah gagal untuk menimbulkan apa-apa keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.Dengan ini sabitan bagi kedua-dua pertuduhan adalah selamat untuk dikekalkan, rayuan atas sabitan adalah ditolak,” kata Hakim Datuk Azman Abdullah.
KUALA LUMPUR — Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kekal dipenjara 12 tahun oleh Mahkamah Rayuan hari ini selepas gagal dalam rayuan akhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, Bella, empat tahun lalu.
Keputusan sebulat suara panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Azman Abdullah, bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, menolak rayuan akhir Siti Bainun, 33.
Dalam penghakimannya, Azman berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada sebarang kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi atas dapatan terperinci hakim Mahkamah Sesyen.
“Setelah meneliti keseluruhan keterangan diberikan pihak pendakwaan dan pembelaan, kami mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya atas kedua-dua pertuduhan, melampaui keraguan munasabah.
“(Dan) perayu telah gagal untuk menimbulkan apa-apa keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.Dengan ini sabitan bagi kedua-dua pertuduhan adalah selamat untuk dikekalkan, rayuan atas sabitan adalah ditolak,” katanya dipetik media tempatan.
Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mensabitkan dan menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Bainun, memerintahkan dia menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Selain itu, dia yang didakwa mengabai dan menganiaya mangsa di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021, juga diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Dia yang sudah menjalani hukuman di Penjara Kajang selama dua tahun, gagal dalam permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu selepas ia ditolak oleh mahkamah sama.
Pada 2 Mei 2024, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Siti Bainun untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu, dan dia kemudiannya merayu keputusan di Mahkamah Rayuan. — The Merdeka Times