Antarabangsa
Ulama, peniaga & aktivis di Pakistan, Afghanistan antara kelompok bantah pembakaran al-Quran
Ratusan lelaki di Afghanistan mengadakan protes di Timur Khost untuk menyatakan kemarahan terhadap pembakaran al-Quran di ibu negara Sweden pada minggu lalu.
- Ratusan lelaki di Afghanistan mengadakan protes di Timur Khost untuk menyatakan kemarahan terhadap pembakaran al-Quran di ibu negara Sweden pada minggu lalu.
- Penunjuk perasaan juga berkumpul di jalan raya di ibu negara Pakistan, Islamabad yang mengecam tindakan Paludan itu.
- Mereka terdiri daripada alim ulama, peniaga dan aktivis hak asasi manusia memegang sepanduk anti-Barat dan menuntut PBB mengecam sama insiden itu.
KHOST – Ratusan lelaki di Afghanistan mengadakan protes di Timur Khost untuk menyatakan kemarahan terhadap pembakaran al-Quran di ibu negara Sweden pada minggu lalu.
Ahli politik berhaluan kanan Sweden, Rasmus Paludan pada Sabtu lalu membakar naskhah kitab suci umat Islam di hadapan kedutaan Turkiye di Stockholm.
Sejak itu protes diadakan di beberapa negara Islam dan terbaharu membabitkan golongan lelaki Aghanistan keluar beramai-ramai melancarkan protes di bandar Khost yang terletak berhampiran sempadan dengan Pakistan.
“Pergi jahanam kerajaan dan ahli politik Sweden,” laungan di dataran utama bandar Khost,” lapor wartawan AFP.
Rakaman video menunjukkan penunjuk perasaan memegang salinan al-Quran dan membakar bendera Sweeden serta melaungkan slogan menentang Paludan.
Dalam perkembangan sama, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di jalan raya di ibu negara Pakistan, Islamabad yang mengecam tindakan Paludan itu.
Penunjuk perasaan terdiri daripada alim ulama, peniaga dan aktivis hak asasi manusia memegang sepanduk anti-Barat dan menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam sama insiden tersebut.
Difahamkan, Sweden turut menerima kecaman langsung dari negara Islam termasuk Turkiye, Iran, Arab Saudi, Yaman, Malaysia dan Indonesia. – AFP
Sumber: Sinar Harian