Connect with us

Terkini

Doktor muda ‘frust’, kerja teruk gaji sikit – Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia

Kerajaan perlu menyediakan solusi sewajarnya bagi menyelesaikan masalah dihadapi doktor tempatan berbanding  isu penghijrahan doktor ke luar negara.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
  • Kerajaan perlu menyediakan solusi sewajarnya bagi menyelesaikan masalah dihadapi doktor tempatan berbanding  isu penghijrahan doktor ke luar negara.
  • “Pengalaman saya sebagai pengarah kesihatan negeri, saya tengok doktor muda sekarang dia frust, kerja teruk gaji sikit bila keluar dia jual telefon, jual insurans buat macam-macam yang ini kita kena fikir sebab latihan sudah keluar banyak kan?
  • “Saya rasa tak ada sampai 10,000 orang dalam tempoh setahun pun yang pergi luar negara sekalipun ada tapi kalau kita prepare dari awal tak payah kita nak risau sangat tapi kita kena tumpukan perhatian kepada doktor-doktor di dalam ini. Kita kena beri solusi yang lebih baik bagi doktor tempatan ini,” – Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
  • Kementerian Kesihatan juga disaran merombak semula sistem kesihatan sedia ada, khususnya dari segi gaji dan perjawatan

KUALA LUMPUR –  Kerajaan perlu menyediakan solusi sewajarnya bagi menyelesaikan masalah dihadapi doktor tempatan berbanding  isu penghijrahan doktor ke luar negara.

Ini kerana majoriti doktor muda berdepan pelbagai masalah, termasuk kecewa kerana perlu bekerja teruk tetapi bergaji rendah.

Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata Kementerian Kesihatan juga perlu merombak semula sistem kesihatan sedia ada khususnya dari segi gaji dan perjawatan.

“Pengalaman saya sebagai pengarah kesihatan negeri, saya tengok doktor muda sekarang dia frust, kerja teruk gaji sikit bila keluar dia jual telefon, jual insurans buat macam-macam yang ini kita kena fikir sebab latihan sudah keluar banyak kan?

“Sekarang golongan ini banyak yang jual insurans, prudential, MLM dan sebagainyalah kan? At least kalau dia buat klinik swasta dia boleh kerana jalankan service jadi saya rasa kerajaan kena tentukan macam mana kita nak membantu golongan junior ini dengan mereka yang akan masuk dalam sistem,” katanya kepada The Merdeka Times di sini semalam.

Beliau mengulas tentang isu penghijrahan golongan doktor dan kakitangan perubatan ke luar negara, antaranya didorong persepsi tiada masa depan dan hala tuju laluan kerjaya dalam Malaysia.

Beliau mencadangkan kerajaan merangka sistem baharu kesihatan yang merentasi sempadan fasiliti di antara kerajaan, swasta dan universiti dalam perkhidmatan dan latihan perubatan.

“Dari segi kepakaran, kita banyakkan kepakaran dalam negeri beri peluang dan akhirnya sekali kita kena ada satu orang kata rentas sempadan fasiliti – kerajaan, universiti dan swasta untuk perkhidmatan serta latihan. 

“Kena ada satu keselamatan yang kerajaan kena bagi swasta dan swasta pun akan menambah bilangan doktor-doktor di situ iaitu kita boleh ambil doktor-doktor yang sudah bekerja,” katanya.

Beliau berkata cadangan itu akan dapat direalisasikan sekiranya sistem perkhidmatan kesihatan direformasi dan diubah sepenuhnya kerana ia sudah lama dan semakin kurang berkesan.

Katanya, kajian sudah dijalankan, namun negara kita masih terikat dengan sistem sedia ada.

“Kita terikat dengan sistem kita. Kita ada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam jadi kita tidak boleh naikkan gaji doktor nanti cikgu pun nak juga kita nak tambah bilangan doktor tak boleh pegawai lain pun nak dinaikkan juga jadi kita terkongkong dengan sistem.

“Jadi kalau nak ubah sesuatu itu kita kena ubah sistem ke semua sekali.

“Penghijrahan doktor ini sedikit sangat sampai satu masa sekarang dah susah sangat mereka nak pergi USA, Singapura, Kanada ke payahlah sebab diaorang pun dah tak nak ambilkan. Bolehlah macam Filipina itu doktor jadi nurse.

“Saya rasa tak ada sampai 10,000 orang dalam tempoh setahun pun yang pergi luar negara sekalipun ada tapi kalau kita prepare dari awal tak payah kita nak risau sangat tapi kita kena tumpukan perhatian kepada doktor-doktor di dalam ini. Kita kena beri solusi yang lebih baik bagi doktor tempatan ini,” katanya.

Beliau berkata golongan doktor muda juga kebiasaannya merupakan doktor kontrak tiada ‘job security’ di mana walaupun sudah bertahun-tahun berkhidmat masih tiada pencen dan perancangan untuk masa depan.

Terbaharu, media melaporkan persepsi tiada masa depan dan hala tuju laluan kerjaya dalam negara selain sistem tawaran perkhidmatan kontrak menjadi antara faktor graduan perubatan atau doktor pakar keluar daripada perkhidmatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan berhijrah ke luar negara.

Presiden Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADU), Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah berkata, penghijrahan itu adalah kerugian besar bukan saja dari aspek wang, namun juga modal insan kepada negara. — The Merdeka Times.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *