Antarabangsa
Taliban hanya benarkan wanita dirawat doktor wanita
Pemerintah Taliban melarang wanita bekerja di pusat beli-belah atau pergi berjumpa doktor lelaki untuk mendapat rawatan, manakala semua salun kecantikan diarah tutup dalam masa 10 hari akan datang, lapor portal berita Wion News yang memetik laporan APA kelmarin.
- Pemerintah Taliban di Afghanistan melarang wanita bekerja di pusat beli-belah atau pergi berjumpa doktor lelaki untuk mendapat rawatan.
- Salun kecantikan juga diarah tutup dalam masa 10 hari akan datang, demikian dakwaan Shabnam Nasimi melalui ciapan di Twitter dipetik agensi berita APA.
- Shabnam Nasimi merupakan bekas penasihat dasar kepada Menteri Penempatan Semula Afghanistan dan Menteri Pelarian pada Selasa lalu mengecam arahan terbaru kerajaan semasa Afghanistan itu.
- “Mereka (Taliban) juga hantar surat pada tuan tanah dan beritahu untuk tidak memberikan sewa pada wanita. Sekali lagi sifat memalukan mengenai Taliban terhadap wanita berterusan,” – Shabnam Nasimi.
KABUL – Pemerintah Taliban melarang wanita bekerja di pusat beli-belah atau pergi berjumpa doktor lelaki untuk mendapat rawatan, manakala semua salun kecantikan diarah tutup dalam masa 10 hari akan datang, lapor portal berita Wion News yang memetik laporan APA kelmarin.
Shabnam Nasimi yang merupakan bekas penasihat dasar kepada Menteri Penempatan Semula Afghanistan dan Menteri Pelarian pada Selasa lalu mengecam arahan terbaru Taliban ke atas wanita Afghanistan menerusi laman Twitter.
“Pemerintah Taliban dilaporkan telah mengarahkan semua salun kecantikan wanita di beberapa wilayah di Afghanistan untuk menutup perniagaan mereka.
“Mereka (Taliban) juga menghantar surat kepada tuan tanah dan memberitahu untuk tidak memberikan sewa kepada wanita. Sekali lagi sifat memalukan mengenai Taliban terhadap wanita berterusan,” ciap Nasimi.
Wanita juga dilarang daripada terlibat dalam sebarang aktiviti olahraga selepas Taliban melawat beberapa gadis yang sedang bersukan dan menggesa mereka untuk tidak melakukan aktiviti itu.
Menurut laporan media, banyak wilayah yang dikuasai Taliban di negara itu turut melarang wanita menemui doktor lelaki untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Sejak Taliban berkuasa di Afghanistan lebih setahun lalu, kehidupan dan ekonomi di negara Asia Selatan tersebut nampaknya semakin terjejas.
Kehidupan gadis serta wanita dewasa juga telah mengalami kemerosotan bermula daripada pelaksanaan pelbagai sekatan ke atas mereka.
Antara sekatan itu ialah Taliban melarang pelajar perempuan daripada pergi ke sekolah dan kolej, tidak keluar rumah tanpa mahram lelaki serta melarang mereka bekerja dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – Agensi
Sumber: Kosmo