Antarabangsa
NGO terbesar Afghanistan iktiraf keberanian wanita Malaysia pertama bantu mangsa gempa Kunar
- Pengiktirafan istimewa dizahirkan sendiri oleh Abdul Fatah Jawad, Ketua Pegawai Eksekutif Ehsas Welfare and Social Services Organization.
- “Lila Ruzaini ialah wanita Malaysia pertama berada di lapangan di Kunar selepas gempa, menyalurkan bantuan kemanusiaan secara langsung melalui dapur OMAI. Keberaniannya menjadi teladan bagi wanita lain dalam kerja-kerja kemanusiaan,” jelas Abdul Fatah.
AFGHANISTAN – Usaha kemanusiaan aktivis Lila Ruzaini di Afghanistan menerima penghargaan tinggi apabila Ehsas Welfare and Social Services Organization, NGO terbesar di negara itu, mengiktiraf beliau sebagai wanita Malaysia pertama turun padang membantu mangsa gempa bumi di Kunar.
Selepas gegaran kuat yang mengorbankan ramai dan memusnahkan ribuan rumah, Organisasi Malaysia Afghanistan Initiative (OMAI) dengan sokongan Yayasan Restu serta kerjasama Ehsas tampil sebagai NGO asing pertama menubuhkan dapur komuniti di wilayah tersebut.
Di sebalik operasi mencabar itu, keberanian Lila menjadi tonggak utama misi pengagihan makanan panas kepada keluarga yang kehilangan segalanya.
Pengiktirafan istimewa dizahirkan sendiri oleh Abdul Fatah Jawad, Ketua Pegawai Eksekutif Ehsas Welfare and Social Services Organization.
“Lila Ruzaini ialah wanita Malaysia pertama berada di lapangan di Kunar selepas gempa, menyalurkan bantuan kemanusiaan secara langsung melalui dapur OMAI. Keberaniannya menjadi teladan bagi wanita lain dalam kerja-kerja kemanusiaan,” jelas Abdul Fatah.
OMAI yang diasaskan untuk memperluas misi belas ihsan Malaysia ke Afghanistan kini meneruskan program Dapur OMAI sebagai salah satu teras utama.
Bersama pengarah projek Nabilah Shahrudin dan Norashikin Abdul Latiff, Lila menjadi lambang sumbangan wanita Malaysia yang berani mengangkat nama negara dalam misi global.
Keberanian Lila yang juga merupakan pengacara program Garis Krisis The Merdeka Times disifatkan Ehsas melampaui sekadar misi bantuan, sebaliknya memberi inspirasi kepada masyarakat tempatan bahawa solidariti sejagat masih wujud di tengah penderitaan.

Foto: Aktivis, Lila Ruzaini yang juga merupakan pengacara program Garis Krisis The Merdeka Times.
Sokongan dari Malaysia, katanya, telah menguatkan semangat rakyat Kunar yang diuji bencana.
OMAI dalam kenyataannya turut menzahirkan penghargaan kepada Ehsas dan komuniti Afghanistan yang membantu menjayakan misi tersebut.
“Alhamdulillah, melalui kerjasama ini, belas ihsan Malaysia dapat dizahirkan tepat pada waktunya, ketika rakyat Kunar sangat memerlukan,” kata organisasi itu. -The Merdeka Times