Terkini
Pilihan Raya Bukan Saluran Bebaskan Mana-mana Individu – Azalina
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang‑Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan bahawa pilihan raya bukanlah saluran untuk membebaskan mana‑mana individu secara sewenang‑wenangnya.
- Beliau menyampaikan pandangan itu kepada pemberita selepas menghadiri National Cyber Security Summit (NCSS) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
- Kenyataan ini menunjukkan bahawa proses pilihan raya tidak boleh digunakan sebagai instrumen untuk melepaskan individu daripada tanggungjawab undang‑undang, menekankan pemisahan antara proses politik dan keadilan.
PUTRAJAYA — Pilihan raya bukan saluran untuk membebaskan mana-mana individu yang sedang menjalani hukuman, tegas Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata tiada undang-undang yang menyatakan pilihan raya boleh digunakan untuk membebaskan individu tertentu.
Sebaliknya, kuasa pengampunan bagi mana-mana individu terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Tak ada undang-undang menyatakan pilihan raya boleh membebaskan sesiapa. Yang berlaku hari ini (pengampunan) ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Tak ada kena-mengena dengan politik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSS) 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan beberapa pihak pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) mampu membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Azalina ketika mengulas mengenai PRN Johor berkata jentera BN sedang giat berkempen secara teratur dan tersusun dengan memberikan tumpuan kepada keutamaan rakyat dan isu tempatan di negeri itu.
“BN ialah parti politik yang sudah lama dan cara kami berkempen tu banyak memberikan fokus kepada keutamaan rakyat dalam negeri berkenaan.
“Kami ada program sistem keluarga angkat daripada negeri-negeri yang juga memberi penambahbaikan dari segi kempen terhadap isu-isu tempatan,” katanya.
PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon merebut 56 kerusi DUN dengan pengundian bagi 2.7 juta pemilih ditetapkan pada Sabtu ini.
— BERNAMA