Terkini
KDN siasat operasi Network School di Forest City
- KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), PDRM dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh, termasuk terhadap:
- i. identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat;
- ii. status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan;
- ili. jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan serta tujuan kemasukan
- ke Malaysia; dan
- iv. pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-
- undang imigresen serta undang-undang lain yang berkaitan.
- KDN juga menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang serta boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School di Forest City, Johor, susulan kebimbangan orang ramai berhubung dakwaan penglibatan individu yang menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia.
KDN dalam kenyataan hari ini berkata, kementerian itu memandang serius sebarang perkara yang menyentuh keselamatan negara, pematuhan undang-undang imigresen serta kemungkinan penyalahgunaan kemudahan imigresen Malaysia.
Menurut KDN, siasatan dijalankan melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.
Semakan itu merangkumi identiti dan kewarganegaraan individu terlibat, kesahihan dokumen perjalanan, jenis pas atau kemudahan imigresen yang digunakan, tujuan kemasukan ke Malaysia serta pematuhan terhadap syarat imigresen dan undang-undang berkaitan.
KDN turut bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain bagi memastikan semua aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak mengikut undang-undang.
Kementerian itu menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang.
“Sekiranya hasil siasatan mendapati wujud sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu atau apa-apa kesalahan lain yang menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi,” menurut kenyataan itu.
Kontroversi Network School tercetus selepas pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran program tersebut di Forest City, termasuk dakwaan penyertaan warga asing dari Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.
Network School merupakan komuniti kediaman teknologi swasta yang dilancarkan pada 2024 oleh pelabur teknologi dan bekas Ketua Pegawai Teknologi Coinbase, Balaji Srinivasan.
Program itu digambarkan sebagai hab digital yang menghimpunkan usahawan, pekerja jarak jauh dan peserta dari pelbagai negara.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap operasi berkenaan.
Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
KDN turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional, telus serta berlandaskan undang-undang. – The Merdeka Times