Terkini
Network School: 266 Warga Asing Miliki Dokumen Sah, Siasatan Diteruskan – Jabatan Imigresen Malaysia
- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan kesemua 266 warga asing dari 40 negara yang diperiksa di Forest City, Johor pada 14 Julai 2026 memiliki dokumen perjalanan yang sah berdasarkan rekod semasa.
- Walaupun dokumen sah, JIM akan meneruskan siasatan bagi memastikan pematuhan penuh terhadap syarat kemasukan dan peruntukan Akta Imigresen 1959/63, termasuk penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan atau pelanggaran syarat pas.
- Jabatan Imigresen menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen dan akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memelihara keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara.
JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan kesemua 266 warga asing dari 40 negara yang diperiksa di Forest City, Johor semalam memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.
Pemeriksaan yang dilaksanakan pada 14 Julai itu merupakan operasi bersepadu melibatkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan serta peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan undang-undang berkaitan.
Operasi Network School, sebuah komuniti kediaman dan ruang kerja bersama yang dilancarkan pada 2024 oleh bekas Ketua Pegawai Teknologi Coinbase, Balaji Srinivasan – menjadi kontroversi selepas timbul dakwaan bahawa warga Israel menyertai program tersebut menggunakan pasport negara kedua.
Isu ini semakin hangat selepas pengasasnya, Srinivasan, pernah merujuk visinya sebagai “tech Zionism”, manakala pempengaruh Israel, Nas Daily, sebelum ini turut muncul dalam video mempromosikan komuniti tersebut di Forest City.
Ahli Parlimen PAS Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi, mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat bagi mendapatkan penjelasan kerajaan, manakala Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut mengarahkan siasatan menyeluruh.
JIM menegaskan akan meneruskan siasatan terhadap sebarang maklumat baharu berkaitan penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan atau pelanggaran syarat pas.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen atau penyalahgunaan kemudahan imigresen,” tegas kenyataan itu. – The Merdeka Times