Terkini
Rukan Negara: Titah Agong amat tepat buat golongan kaduk naik junjung – Asyraf Wajdi
- Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
- “Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong jelas, siapa yang tidak menghormati Rukun Negara, tidak layak bergelar warganegara.
- “Amat tepat buat golongan ‘kaduk naik junjung’ yang lupa daratan, lupa adab dan batas,” katanya.
KUALA LUMPUR – Titah Yang di-Pertuan Agong berhubung individu yang tidak menghormati Rukun Negara tidak layak bergelar warganegara disifatkan sebagai amat tepat buat golongan ‘kaduk naik junjung’ yang lupa daratan serta lupa adab dan batas.
Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
“Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong jelas, siapa yang tidak menghormati Rukun Negara, tidak layak bergelar warganegara.
“Amat tepat buat golongan ‘kaduk naik junjung’ yang lupa daratan, lupa adab dan batas,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa mana-mana individu yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara, tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia.
Seri Paduka Baginda bertitah, Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970, merupakan aku janji dan ikrar setiap warga Malaysia bagi membina semula perpaduan kaum serta menjamin keharmonian masyarakat. Pakar perundangan dan perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz dilaporkan berkata, titah Seri Paduka Baginda itu selaras dengan kedudukan Rukun Negara sebagai falsafah negara yang menggariskan cita-cita nasional serta prinsip yang perlu didukung oleh setiap rakyat Malaysia. – The Merdeka Times