Terkini
Isu poster UPSI: Senator tegas tolak institusi awam diguna sebagai medium galak penukaran agama
- Senator Datuk Dr Lingeshwaran berkata, walaupun kebebasan beragama dan penyebaran ajaran Islam dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, pelaksanaannya perlu dilakukan secara beretika, berhemah dan tidak melibatkan institusi pendidikan awam sebagai medium yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar bukan Islam serta keluarga mereka.
- “Institusi pendidikan awam di Malaysia adalah milik semua rakyat, tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang. Justeru, institusi ini tidak wajar sama sekali dimanipulasi atau dieksploitasi sebagai platform untuk menggalakkan penukaran agama, sama ada secara langsung atau melalui insentif, keistimewaan atau sebarang bentuk galakan yang boleh menimbulkan persepsi tidak sihat,” katanya.
KUALA LUMPUR – Senator Datuk Dr Lingeshwaran menegaskan institusi pendidikan awam tidak seharusnya dijadikan platform untuk menggalakkan penukaran agama, sambil menggesa parti komponen Barisan Nasional (BN), khususnya MIC dan MCA, menyatakan pendirian mereka berhubung isu yang timbul berkaitan sebuah institusi pengajian tinggi awam.
Beliau berkata, walaupun kebebasan beragama dan penyebaran ajaran Islam dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, pelaksanaannya perlu dilakukan secara beretika, berhemah dan tidak melibatkan institusi pendidikan awam sebagai medium yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar bukan Islam serta keluarga mereka.
“Institusi pendidikan awam di Malaysia adalah milik semua rakyat, tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang. Justeru, institusi ini tidak wajar sama sekali dimanipulasi atau dieksploitasi sebagai platform untuk menggalakkan penukaran agama, sama ada secara langsung atau melalui insentif, keistimewaan atau sebarang bentuk galakan yang boleh menimbulkan persepsi tidak sihat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, tindakan sedemikian merupakan satu bentuk penyalahgunaan proses institusi awam yang sepatutnya kekal neutral, inklusif dan menghormati kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Mohd Khairuddin Aman Razali bahawa Islam boleh disebarkan dan dikembangkan di mana-mana dalam negara ini termasuk di institusi pengajian tinggi, Lingeshwaran berkata sebarang usaha penyebaran agama perlu dilakukan melalui saluran yang sesuai dan tidak menimbulkan keresahan dalam masyarakat majmuk.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan kepercayaan antara komuniti serta keharmonian sosial tidak wajar dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan individu yang dikaitkan dengan gabungan politik berbilang kaum.
Sehubungan itu, beliau menggesa MIC dan MCA supaya menyatakan pendirian yang jelas berhubung isu berkenaan.
“Sebagai rakan sekutu dalam gabungan yang ditubuhkan atas mandat masyarakat majmuk, MIC dan MCA memikul tanggungjawab moral untuk bersuara demi keluarga dan anak-anak yang telah memberikan kepercayaan kepada mereka.
“Diam bukanlah satu pilihan yang bertanggungjawab apabila integriti institusi pendidikan negara dan ketenteraman generasi muda kita menjadi taruhan,” katanya. – The Merdeka Times