Terkini
Istana tidak arah bubar DUN Johor – Onn Hafiz
- Menteri Besar sementara Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan dakwaan yang dibuat Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi itu sebagai tidak benar.
- Beliau menjelaskan bahawa apa yang dimaklumkan ialah pembubaran DUN dibuat selepas memperoleh perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Perkara 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.
- “Mendapatkan perkenan adalah satu proses berperlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya.
JOHOR BAHRU – Menteri Besar sementara Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan dakwaan bahawa beliau pernah menyatakan pihak Istana mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menyifatkan dakwaan yang dibuat Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi itu sebagai tidak benar.
Beliau menjelaskan bahawa apa yang dimaklumkan ialah pembubaran DUN dibuat selepas memperoleh perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Perkara 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.
Beliau berkata, terdapat perbezaan yang jelas antara memperoleh perkenan diraja sebagai sebahagian daripada proses perlembagaan dengan menerima arahan daripada pihak Istana.
Menurutnya, Menteri Besar tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan DUN mengikut budi bicara sendiri kerana tindakan itu perlu melalui proses yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.
“Saya telah menghadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.
“Mendapatkan perkenan adalah satu proses berperlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya.
Onn Hafiz berkata, tindakan memutarbelitkan proses perlembagaan sehingga menimbulkan persepsi bahawa institusi diraja campur tangan dalam urusan dan keputusan politik UMNO Johor adalah tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, walaupun Mohd Puad berhak untuk mempunyai pandangan berbeza serta meninggalkan UMNO, kenyataan sedemikian adalah serius kerana berpotensi menyentuh sensitiviti isu 3R, khususnya yang melibatkan institusi diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.
Sehubungan itu, katanya, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan yang sewajarnya.
Beliau turut menggesa semua pihak supaya menghormati institusi diraja, menjunjung Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor serta tidak mengheret institusi berkenaan ke dalam pertikaian politik. – The Merdeka Times