Terkini
UNHCR semakin tidak telus, Dakwa Pengerusi Centhra
KUALA LUMPUR – Pengerusi Centre for Human Rights Research and Advocacy (Centhra), Azril Mohd Amin mendakwa Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) kini semakin kurang telus dalam menguruskan isu pelarian dan golongan tanpa kerakyatan di Malaysia.
Menurut beliau, komunikasi serta kerjasama antara pihaknya dengan UNHCR sebelum ini berjalan dengan baik, termasuk dalam membantu pelarian mendapatkan temu janji dan mempercepatkan proses penempatan ke negara ketiga.
Bagaimanapun, beliau berpandangan keadaan tersebut semakin berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sebelum ini interaksi dan komunikasi kami dengan UNHCR agak baik. Kami banyak menerima permohonan untuk mendapatkan temu janji dan peluang supaya proses penempatan ke negara ketiga dapat dijalankan dengan lebih cepat.
“Cuma akhir-akhir ini saya tengok UNHCR semakin tidak telus dan semakin tidak efisien,” katanya dalam program Garis Krisis terbitan The Merdeka Times.
Azril berkata, antara perkara yang sering dibangkitkan adalah kesukaran mendapatkan maklumat serta kurangnya ketelusan dalam beberapa aspek pengurusan berkaitan pelarian.
Beliau turut menyentuh isu proses pengeluaran kad UNHCR yang menurutnya sering menjadi rungutan dalam kalangan pelarian dan masyarakat yang berurusan dengan agensi berkenaan.
Menurut Azril, Malaysia merupakan antara negara yang menampung jumlah besar pelarian dan golongan tanpa kerakyatan, justeru beliau berpandangan UNHCR perlu memberi perhatian yang lebih serius terhadap cabaran yang dihadapi negara ini.
“UNHCR perlu memahami realiti bahawa Malaysia adalah antara negara yang menerima jumlah besar Rohingya selepas Bangladesh. Mereka perlu memberikan keutamaan yang sewajarnya kepada Malaysia,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui terdapat kemungkinan faktor kekangan dana dan sumber manusia menjadi antara cabaran yang dihadapi UNHCR dalam menguruskan jumlah pelarian yang besar.
Namun, katanya, alasan tersebut tidak seharusnya menghalang usaha untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan pelarian, khususnya melibatkan proses pendaftaran, dokumentasi dan penempatan ke negara ketiga.
Azril turut membangkitkan kebimbangan mengenai dakwaan pemalsuan kad UNHCR yang pernah berlaku sebelum ini dan menegaskan perlunya sistem yang lebih kukuh bagi memastikan dokumen yang dikeluarkan tidak mudah disalahgunakan.
Sehubungan itu, beliau berharap UNHCR dapat memperkukuhkan ketelusan, komunikasi dan kecekapan pentadbiran bagi memastikan pengurusan pelarian serta golongan tanpa kerakyatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan pada masa hadapan.-The Merdeka Times