Connect with us

Terkini

Cucu Nik Aziz ditampar ahli politik, lapor polis, tuntut keadilan

Published

on

  • Insiden itu dikatakan berlaku pada 20 Mei lalu sekitar jam 6 petang ketika berlangsungnya Program Pemerkasaan Bangsa 2.0.
  • Majlis berkenaan dianjurkan pihak UiTM dan turut dihadiri oleh pihak pengurusan universiti serta barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM seluruh Malaysia.
  • Ekoran kejadian itu, Nik Alif Aiman mengesahkan telah membuat satu laporan polis bagi menuntut keadilan serta mempertahankan maruah diri, maruah keluarga dan seluruh mahasiswa yang diwakilinya.

KUALA LUMPUR – Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi, cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendedahkan bahawa dirinya telah ditampar oleh seorang ahli politik di hadapan khalayak ramai baru-baru ini.

Insiden tersebut dikatakan berlaku 20 Mei lalu sekitar jam 6 petang ketika berlangsungnya Program Pemerkasaan Bangsa 2.0. 

Majlis berkenaan dianjurkan pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan turut dihadiri pihak pengurusan universiti serta barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM seluruh Malaysia.

Ekoran kejadian itu, Nik Alif Aiman mengesahkan telah membuat satu laporan polis bagi menuntut keadilan serta mempertahankan maruah diri, maruah keluarga dan seluruh mahasiswa yang diwakilinya.

Mengulas lanjut mengenai keputusan beliau untuk bersuara, Nik Alif Aiman menegaskan tindakan ini bukan bermotifkan kepentingan peribadi, populariti, mahupun untuk meraih simpati masyarakat. 

Sebaliknya, ia adalah satu penegasan prinsip demi mempertahankan maruah seorang penuntut ilmu daripada ditindas oleh golongan yang mempunyai pengaruh.

“Sebagai cucu kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, saya dibesarkan dengan nilai bahawasanya maruah manusia mesti dipertahankan, kezaliman mesti ditegur, dan kebenaran tidak perlu didiamkan.

“Atas sebab itu saya tampil bukan sahaja untuk mempertahankan diri sendiri dan maruah keluarga saya, tetapi juga maruah mahasiswa yang saya wakili,” tegas beliau.

Beliau menambah, tindakan berdiam diri hanya akan menghantar isyarat yang salah kepada generasi muda, seolah-olah mengiktiraf bahawa pangkat atau kuasa seseorang membolehkan mereka bertindak sewenang-wenangnya dan melanggar kehormatan golongan mahasiswa.

“Hari ini mungkin saya yang kena, hari lain mungkin mahasiswa lain yang kena. Mungkin kena kepada pelajar yang baru tahun pertama masuk universiti, yang dihantar oleh ibu bapa untuk menimba ilmu untuk dibawa pulang, tetapi sebaliknya membawa penghinaan pula,” katanya lagi.

Susulan kejadian terbabit, Nik Alif Aiman menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada ahli politik berkenaan bagi membersihkan semula imej dan kehormatan yang telah terjejas. 

Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk menghadapi sebarang bentuk tekanan daripada pelbagai pihak demi memastikan mesej yang jelas sampai kepada semua iaitu kedudukan yang tinggi tidak sekali-kali memberi lesen untuk memijak maruah orang lain.

Setakat berita ini ditulis, identiti penuh ahli politik berkenaan masih belum didedahkan kepada umum. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author