Terkini
Video lakonan pengusiran keluarga Islam di Assam cetus kemarahan
- Persembahan yang dilaporkan berlaku semasa tempoh kempen pilihan raya di Assam baru-baru ini itu menonjolkan detik-detik sebuah keluarga yang merangkumi lelaki wanita, dan kanak-kanak dipaksa keluar dari rumah mereka sebelum ‘jentera berat’ meranapkan struktur bangunan tersebut sehingga musnah.
- Berdasarkan klip video berkenaan, watak pasukan polis dilihat bertindak kasar dengan memukul anggota keluarga tersebut selepas mereka dihalau keluar dari kawasan kediaman.
- Apa yang lebih mengecewakan adalah reaksi sebahagian individu di lokasi kejadian yang dirakam ketawa dan bersorak ketika melihat lakonan penderitaan keluarga tersebut dan proses perobohan sedang berlangsung.
ASSAM (India) – Satu rakaman video memaparkan sebuah persembahan lakonan mengenai tindakan pihak berkuasa mengusir sebuah keluarga Islam serta merobohkan kediaman mereka menggunakan jentolak (bulldozer), kinitular di media sosial.
Persembahan yang dilaporkan berlaku semasa tempoh kempen pilihan raya di Assam baru-baru ini itu menonjolkan detik-detik sebuah keluarga yang merangkumi lelaki, wanita dan kanak-kanak dipaksa keluar dari rumah mereka sebelum ‘jentera berat’ meranapkan struktur bangunan tersebut sehingga musnah.
Berdasarkan klip video berkenaan, watak pasukan polis dilihat bertindak kasar dengan memukul anggota keluarga tersebut selepas mereka dihalau keluar dari kawasan kediaman.
Apa yang lebih mengecewakan adalah reaksi penonton yang ketawa dan bersorak ketika melihat lakonan penderitaan keluarga tersebut dan proses perobohan sedang berlangsung.
Paparan video persembahan yang dikaitkan dengan Parti Bharatiya Janata (BJP) tersebut mendapat reaksi negatif pengguna media sosial yang mempersoalkan motif pementasan lakonan berkenaan.
Ada dalam kalangan mereka menggambarkan persembahan tersebut sebagai sesuatu yang ‘menjijikkan’.
Kritikan hebat turut dilemparkan terhadap tindakan penonton yang menjadikan penderitaan sesebuah keluarga sebagai bahan tontonan dan jenaka.
“Kanak-kanak sedang belajar daripadanya… Apabila orang dewasa dilihat ketawa, bolehkah anda bayangkan betapa mendalamnya perkara itu akan tertanam dalam fikiran kanak-kanak tersebut?
“Kanak-kanak itu akan belajar bahawa adalah tidak mengapa untuk mentertawakan tragedi orang lain…! Kadang-kadang saya berasa malu dilahirkan di negara ini, katalah apa sahaja!” ulas seorang pengguna media sosial.Ada dalam kalangan pengguna media sosial yang menyifatkan tindakan mempersendakan penderitaan sedemikian sebagai sesuatu yang melampaui batas dan sangat tidak menghormati maruah manusia. – The Merdeka Times