Terkini
Tiga maut dalam wabak Hantavirus atas kapal persiaran
- Setakat ini, tiga penumpang dilaporkan telah meninggal dunia sama ada ketika berada di atas kapal atau selepas memulakan perjalanan dari Argentina sebulan yang lalu, memetik laporan BBC.
- Empat lagi penumpang telah dipindahkan secara perubatan dari kapal tersebut untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
- Meskipun situasi ini dipandang serius, pakar kesihatan menegaskan bahawa risiko kepada orang awam buat masa ini adalah rendah.
AMSTERDAM – Pihak berkuasa pelbagai negara memandang serius laporan penularan wabak Hantavirus di atas sebuah kapal persiaran yang membawa penumpang dari pelbagai pelosok dunia, baru-baru ini.
Setakat ini, tiga penumpang dilapor telah meninggal dunia sama ada ketika berada di atas kapal atau selepas memulakan perjalanan dari Argentina sebulan yang lalu, memetik laporan BBC.
Empat lagi penumpang telah dipindahkan secara perubatan dari kapal tersebut untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
Meskipun situasi ini dipandang serius, pakar kesihatan menegaskan bahawa risiko kepada orang awam buat masa ini adalah rendah.
Mengulas mengenai kebimbangan penularan global, Dr. Maria Van Kerkhove daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa situasi ini bukan permulaan kepada satu pandemik.
“Ini bukan Covid, ini bukan influenza. Ia menular dengan cara yang sangat berbeza,” jelas beliau dalam satu kenyataan semalam.
Menurut WHO, strain Andes Hantavirus yang dikenal pasti dalam wabak ini tidak bersifat sangat berjangkit jika dibandingkan dengan penyakit seperti campak.
Walaupun terdapat kemungkinan transmisi manusia-ke-manusia, bagaimanapun risiko jangkitan secara global kekal pada tahap rendah.
Sehingga kini, sebanyak lapan kes iaitu tiga disahkan, melibatkan individu yang berada di atas kapal persiaran tersebut.
Walau bagaimanapun, punca sebenar bagaimana wabak ini bermula masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.
Hantavirus lazimnya tersebar daripada tikus, di mana manusia dijangkiti melalui pernafasan udara yang tercemar dengan zarah virus daripada air kencing, najis, atau air liur tikus.
Mengambil kira laluan kapal yang melawat kawasan hidupan liar terpencil, terdapat kemungkinan penumpang terdedah kepada virus tersebut sebelum atau semasa berada di atas kapal.
Pakar memerhatikan bahawa dalam penularan sebelum ini, strain Andes boleh tersebar antara pesakit melalui hubungan yang sangat rapat.
Keadaan di atas kapal persiaran yang mempunyai ruang terhad serta perkongsian kemudahan seperti kabin dan ruang makan dipercayai menjadi faktor yang memudahkan jangkitan berlaku dalam kalangan penumpang.
Operasi besar-besaran kini sedang dijalankan untuk mengesan individu yang mungkin terdedah kepada virus tersebut, memandangkan ramai penumpang telah pulang ke negara asal termasuk United Kingdom, Afrika Selatan, Belanda, Amerika Syarikat, dan Switzerland. – The Merdeka Times