Terkini
Pembayaran tunai tiada ‘money trail’ tidak jejaskan siasatan Lim Guan Eng – SPRM
- Pegawai Kanan Penyiasat SPRM, Zulhilmi Ramli mengakui tiada jejak aliran wang ditemui dalam kes itu kerana pembayaran yang didakwa dibuat kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilakukan secara tunai.
- “Dalam siasatan saya, saya mendapati pembayaran dibuat secara berperingkat dan tunai serta tidak dimasukkan atau dipindahkan ke mana-mana akaun. Bagaimanapun, perkara itu tidak menjejaskan siasatan saya kerana ia disokong oleh keterangan saksi dan bukti dokumentari,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
- Lim berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk mendapatkan suapan bagi membantu sebuah syarikat memperoleh projek terowong dasar laut berkenaan.
KUALA LUMPUR – Ketiadaan jejak aliran wang (money trail) dalam perbicaraan rasuah melibatkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang tidak menjejaskan integriti siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahkamah Sesyen diberitahu hari ini.
Pegawai Kanan Penyiasat SPRM, Zulhilmi Ramli mengakui tiada jejak aliran wang ditemui dalam kes itu kerana pembayaran yang didakwa dibuat kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilakukan secara tunai.
“Dalam siasatan saya, saya mendapati pembayaran dibuat secara berperingkat dan tunai serta tidak dimasukkan atau dipindahkan ke mana-mana akaun.
“Bagaimanapun, perkara itu tidak menjejaskan siasatan saya kerana ia disokong oleh keterangan saksi dan bukti dokumentari,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Lim berkaitan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Sepanjang perbicaraan, mahkamah dimaklumkan bahawa penasihat DAP itu didakwa menerima wang tunai berjuta-juta ringgit daripada kereta milik Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada 20 Ogos 2017.
CZCSB merupakan syarikat yang dianugerahkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion itu.
Wang berkenaan didakwa diserahkan kepada Ahli Parlimen Bagan itu secara berperingkat melalui orang tengah, Datuk G. Gnanaraja.
Zulhilmi berkata, kenyataan Zarul turut disokong beberapa saksi lain termasuk Gnanaraja, bekas Naib Presiden Kanan dan Pengarah CZBUCG, Azli Adam serta Ibrahim Sahari.
Menurutnya, kesemua mereka mengesahkan pengeluaran wang tunai dan pertemuan antara Zarul dengan tertuduh.
“Kenyataan mereka konsisten dan saling menyokong,” katanya.
Zulhilmi turut mempertahankan tindakan SPRM memanggil Gnanaraja sebagai saksi meskipun terdapat dakwaan bahawa kenyataannya mengandungi percanggahan.
Beliau berkata, keterangan Gnanaraja selari dengan kenyataan Zarul yang direkodkan pada penghujung 2019, di mana Zarul mengaku menyerahkan empat beg mengandungi RM1 juta setiap satu.
Katanya, Gnanaraja menerusi kenyataan yang direkodkan sekitar pertengahan 2020 turut mengaku menerima empat beg mengandungi RM1 juta setiap satu daripada Zarul dengan jumlah keseluruhan RM4 juta.
“Perkara itu menjadi sebahagian asas siasatan SPRM,” katanya.
Tambah beliau, siasatan turut menemukan bukti dokumentari dan forensik termasuk bukti pertemuan yang didakwa berlangsung di dalam sebuah kereta melibatkan Zarul, Gnanaraja dan Lim.
“Perkara ini disokong laporan forensik termasuk gambar yang diambil di dalam kereta dan di sebuah rumah,” katanya lagi.
Lim berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk mendapatkan suapan bagi membantu sebuah syarikat memperoleh projek terowong dasar laut berkenaan.
Beliau didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan yang bakal diperoleh syarikat terbabit.
Selain itu, Lim turut dituduh menerima RM3.3 juta untuk dirinya sendiri serta menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri dilupuskan kepada dua syarikat yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut tersebut.-The Merdeka Times