Connect with us

Terkini

Malaysia sudah dihormati dunia tanpa menjadi hab hiburan

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

Malaysia perlu bertanya satu soalan yang mudah tetapi penting, apakah benar masa depan ekonomi negara bergantung kepada lebih banyak konsert, festival dan industri hiburan?

Persoalan itu timbul susulan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh yang menyatakan Kuala Lumpur bersedia menjadi pemain utama dalam industri hiburan serantau, selain komited mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan proses kelulusan acara antarabangsa.

Menurut beliau, Festival Air yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini berjaya menjana kira-kira RM320 juta kepada ekonomi negara dalam tempoh satu hujung minggu.

Dari sudut angka, RM320 juta sememangnya kelihatan mengagumkan.

Namun persoalan yang lebih besar ialah adakah keuntungan jangka pendek itu cukup untuk menghalalkan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan serantau?

Lebih menarik, hari ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan Malaysia sekali lagi diiktiraf sebagai negara dengan ekonomi Islam terbaik di dunia bagi tahun 2025 berdasarkan laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE).

Kenyataan itu membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar satu pengiktirafan antarabangsa.

Ia membuktikan bahawa Malaysia mampu mencapai kemajuan ekonomi, menarik pelaburan, mengekalkan kestabilan dan memperoleh penghormatan dunia tanpa perlu menjadikan budaya hiburan sebagai tunjang utama pembangunan negara.

Jika Malaysia sudah pun muncul sebagai ekonomi Islam terbaik dunia, maka apakah sebenarnya keperluan untuk mengubah hala tuju negara ke arah model pembangunan yang semakin bergantung kepada industri hiburan?

Lebih membimbangkan, industri hiburan bukan sekadar membawa perbelanjaan pengguna dan limpahan ekonomi.

Ia turut datang bersama budaya yang sering dikaitkan dengan hedonisme, normalisasi gaya hidup melampau, penyalahgunaan alkohol, pergaulan bebas, ketagihan hiburan serta kecenderungan masyarakat khususnya generasi muda untuk meletakkan keseronokan sebagai keutamaan berbanding pembinaan ilmu, keluarga dan nilai.

Sudah tentu bukan semua hiburan membawa mudarat. Tiada siapa menolak seni, budaya atau aktiviti rekreasi yang sihat.

Namun terdapat perbezaan besar antara mengiktiraf hiburan sebagai salah satu sektor ekonomi dengan menjadikan negara sebagai “hab hiburan”.

Apabila sesebuah negara mula berlumba-lumba menarik lebih banyak festival, konsert mega dan acara hiburan antarabangsa, maka secara tidak langsung negara juga sedang membentuk identiti baharu yang akan mempengaruhi budaya masyarakat untuk puluhan tahun akan datang.

Persoalannya, adakah itu identiti yang ingin diwariskan kepada generasi akan datang?

Malaysia mempunyai jauh lebih banyak kekuatan untuk dibangunkan.

Kita memiliki industri halal yang bernilai trilion dolar di peringkat global. Kita mempunyai sektor kewangan Islam yang diiktiraf dunia. Kita memiliki kekuatan dalam pelancongan keluarga, Kesihatan dan perubatan serta ekonomi kreatif berteraskan budaya tempatan.

Semua sektor ini mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan tanpa menanggung kos sosial yang tinggi.

Sejarah membuktikan bahawa sesebuah negara tidak menjadi hebat kerana jumlah konsert yang dianjurkan.

Negara menjadi hebat kerana kekuatan ilmu, integriti institusi, produktiviti rakyat, kestabilan sosial dan kejelasan nilai yang menjadi asas pembangunannya.

Malaysia tidak perlu meniru model negara lain untuk berjaya.

Pengiktirafan sebagai ekonomi Islam terbaik dunia menunjukkan kita sudah mempunyai identiti pembangunan yang tersendiri.

Justeru, kerajaan wajar berhati-hati sebelum menjadikan industri hiburan sebagai agenda strategik nasional.

Membangunkan ekonomi adalah keperluan.

Tetapi membangunkan ekonomi dengan mengorbankan nilai dan membuka ruang kepada budaya hedonisme bukanlah harga yang wajar dibayar oleh sebuah negara yang mahu dihormati, bukan sekadar dikenali.- The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author