Connect with us

Terkini

Ladang babi: Ronnie Liu mahu mahkamah putuskan kedudukan titah Sultan Selangor

Published

on

Foto: Bekas pemimpin DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew.
  • Bekas pemimpin DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew mencadangkan agar golongan penternak babi di Selangor memfaikan semakan kehakiman susulan titah Sultan Selangor yang tidak memperkenankan aktiviti penternakan itu di negeri tersebut.
  • “Biar mahkamah yang memutuskan. Barisan peguam kami percaya bahawa hak-hak penternak dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan secara jelas dan nyata. Kami tidak menjangkakan sesiapa untuk sekadar berkata ‘ya’ atau ‘tidak’ terhadap penternakan babi di negeri ini (Selangor). Kita biarkan mahkamah menjadi hakim kepada isu ini,” katanya.

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew mencadangkan agar golongan penternak babi di Selangor memfaikan semakan kehakiman susulan titah Sultan Selangor yang tidak memperkenankan aktiviti penternakan itu di negeri tersebut.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata, cadangan tersebut telah pun dikemukakan kepada golongan penternak sejak bulan lalu bagi membolehkan mahkamah menentukan kedudukan undang-undang berhubung isu tersebut.

“Biar mahkamah yang memutuskan. Barisan peguam kami percaya bahawa hak-hak penternak dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan secara jelas dan nyata.

“Kami tidak menjangkakan sesiapa untuk sekadar berkata ‘ya’ atau ‘tidak’ terhadap penternakan babi di negeri ini (Selangor). Kita biarkan mahkamah menjadi hakim kepada isu ini,” katanya semalam.

Mengulas lanjut, Ronnie turut berkongsi bahawa di Selangor, Sultan mempunyai kuasa perlembagaan yang penting, namun titah Baginda secara umumnya tidak mengatasi undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan. 

Di bawah sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, jelasnya, Kerajaan Negeri Selangor bertanggungjawab menjalankan pentadbiran negeri melalui menteri besar dan barisan EXCO, manakala Sultan bertindak mengikut peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor serta Perlembagaan Persekutuan. 

Dalam kebanyakan urusan pentadbiran, katanya, Sultan bertindak berdasarkan nasihat daripada kerajaan negeri.

Meskipun begitu, tambahnya, Sultan mempunyai kuasa budi bicara dalam beberapa perkara tertentu seperti pelantikan menteri besar, hal ehwal agama Islam di peringkat negeri, adat istiadat Melayu serta pemberian persetujuan bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri. 

Walau bagaimanapun, jelasnya, titah Diraja tetap perlu mematuhi Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negeri dan keputusan yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

“Kerajaan Persekutuan juga mempunyai ruang untuk mengatasi urusan di peringkat negeri sekiranya undang-undang Persekutuan mempunyai kedaulatan (supremacy) perlembagaan, Parlimen mempunyai kuasa perundangan ke atas subjek berkaitan atau jika mahkamah memutuskan bahawa sesuatu titah itu tidak berperlembagaan. 

“Bagi hal ehwal Islam di Selangor, Sultan berperanan sebagai Ketua Agama Islam negeri yang memberikan Baginda autoriti yang sangat kukuh, namun pentadbirannya tetap dilaksanakan menerusi undang-undang negeri dan institusi rasmi seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya,

Beliau berkata, prinsip perlembagaan yang paling utama di Malaysia adalah keluhuran Perlembagaan, yang bermaksud Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi dan bukannya mana-mana pemegang jawatan secara individu. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author