Terkini
Ladang babi jauh dari rumah bukan jaminan bebas pencemaran – Pakar UKM
- Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Zurinah Tahir berkata, walaupun ladang ditempatkan jauh dari kawasan kediaman, pencemaran masih boleh merebak melalui aliran air hujan, sistem saliran dan resapan tanah.
- Menurut beliau, ini bermakna sungai atau kawasan pertanian di lokasi lain masih boleh terjejas akibat pelepasan sisa ternakan.
KUALA LUMPUR – Faktor jarak semata-mata bukan jaminan bahawa kesan negatif daripada penternakan babi tidak akan berlaku.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Zurinah Tahir berkata, walaupun ladang ditempatkan jauh dari kawasan kediaman, pencemaran masih boleh merebak melalui aliran air hujan, sistem saliran dan resapan tanah.
Menurut beliau, ini bermakna sungai atau kawasan pertanian di lokasi lain masih boleh terjejas akibat pelepasan sisa ternakan.
“Di samping itu, penternakan babi berskala besar turut memberi kesan terhadap alam sekitar secara lebih luas. Pelepasan gas metana daripada sisa ternakan menyumbang kepada peningkatan gas rumah hijau dan perubahan iklim.
“Aktiviti ini juga boleh mengganggu ekosistem setempat, terutama jika pembukaan kawasan ladang melibatkan penebangan hutan atau penerokaan tanah secara besar-besaran,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Semalam, media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyembah maklum pendirian Putrajaya berhubung syarat ketat bagi pembukaan ladang penternakan babi di Selangor semasa menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Anwar memberi taklimat kepada kabinet mengenai sesi menghadap tersebut yang turut disertai oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
“Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa sebarang kawasan penternakan babi hanya boleh dilaksanakan di kawasan-kawasan baharu yang terletak jauh dari kawasan perumahan atau sumber kritikal seperti aliran air, sungai dan sebagainya.
“Ia juga (mesti) berserta dengan penggunaan teknologi tinggi yang mampu mengurus isu sisa dan pencemaran dengan sangat baik,” kata Fahmi dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Zurinah berkata, pendirian Kerajaan Persekutuan tersebut boleh dianggap sebagai satu pendekatan yang rasional dan praktikal dalam mengurangkan konflik antara aktiviti penternakan dan kesejahteraan masyarakat.
Namun begitu, tambahnya, pendekatan tersebut tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian mutlak.
Apa yang lebih penting ujarnya, adalah pelaksanaan sistem penternakan yang mampan, pematuhan piawaian alam sekitar dan penguatkuasaan yang tegas.
“Tanpa pengurusan yang sistematik dan bertanggungjawab, impak negatif penternakan tetap boleh berlaku walaupun lokasinya jauh daripada penempatan perumahan dan manusia,” katanya. – The Merdeka Times