Connect with us

Terkini

Kontrak Sosial bukan mitos, 13 Mei bukti “harga” perpecahan

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

Malaysia tidak dibina dalam sehari.

Negara ini lahir daripada proses rundingan yang panjang, kompromi yang sukar dan persefahaman antara kaum yang akhirnya membentuk Perlembagaan Persekutuan.

Namun hari ini, semakin ramai seolah-olah lupa bagaimana negara ini diasaskan dan apa harga yang pernah dibayar apabila politik melampaui batas kewarasan.

Apa yang sering disebut sebagai “kontrak sosial” bukan sekadar retorik politik moden.

Menurut ramai sarjana tempatan, ia merujuk kepada persefahaman pra-kemerdekaan antara pemimpin pelbagai kaum yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Melalui persefahaman itu:

Kaum bukan Melayu diberikan kewarganegaraan secara besar-besaran berasaskan prinsip Jus Soli. Manakala kedudukan Islam, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan hak istimewa Melayu serta Bumiputera dipelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia bukan “hadiah sebelah pihak”.

Ia adalah formula kestabilan negara.

Kontrak sosial wujud kerana para pengasas negara memahami satu hakikat penting iaitu Malaysia tidak akan stabil jika setiap kaum hanya mahu menang sendiri.

Sebab itu Perlembagaan dibina atas semangat toleransi, timbal balas dan keseimbangan.

Tetapi sejarah juga membuktikan bahawa apabila semangat itu mula runtuh, negara akan mula retak.

Tragedi 13 Mei 1969 menjadi bukti paling pahit.

Laporan rasmi MAGERAN dan pelbagai rekod sejarah menunjukkan bahawa ketegangan kaum ketika itu dipengaruhi oleh jurang ekonomi, persaingan politik yang melampau dan retorik perkauman yang semakin agresif.

Beberapa perarakan kemenangan politik oleh parti pembangkang selepas PRU 1969 termasuk DAP dan Gerakan, serta tindak balas politik selepas itu, menjadi antara faktor yang meningkatkan ketegangan kaum sebelum tercetusnya tragedi 13 Mei.

Apa yang berlaku selepas itu bukan kemenangan sesiapa.

Yang mati bukan ahli politik.

Yang terbunuh ialah rakyat biasa.

Ayah, ibu, anak-anak dan jiran tetangga menjadi mangsa apabila politik gagal dikawal dengan matang.

Malangnya, selepas lebih lima dekad, politik Malaysia hari ini kembali menunjukkan simptom yang membimbangkan.

Jika dahulu provokasi berlaku melalui perarakan jalanan, hari ini ia bergerak pantas melalui media sosial, podcast politik, video TikTok dan perang naratif digital.

Isu agama, bahasa, kuota pendidikan, institusi Raja-Raja Melayu, sekolah vernakular dan hak istimewa Bumiputera semakin kerap diperdebatkan dengan nada yang keras dan emosional.

Yang lebih berbahaya ialah apabila ada ahli politik sanggup menggunakan sentimen kaum untuk mengukuhkan sokongan kelompok sendiri.

Ada pihak yang memperlekeh unsur tradisi Perlembagaan atas nama “kesamarataan mutlak”.

Ada pula yang menggunakan ketakutan kaum sebagai modal politik berpanjangan.

Kedua-duanya berbahaya.

Kerana kontrak sosial tidak dibina untuk memenangkan satu kaum dan menindas kaum lain.

Ia dibina supaya semua kaum boleh hidup dalam sebuah negara yang stabil tanpa menafikan realiti sejarah pembentukan Malaysia.

Sebab itu generasi muda mesti memahami bahawa mempertahankan Perlembagaan bukan bermaksud membenci kaum lain.

Dan membincangkan hak sesuatu kaum juga tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menanam kebencian terhadap kaum lain.

Apa yang perlu dipertahankan ialah keseimbangan negara.

Perkara-perkara asas seperti:

– Kedudukan Islam,

– Bahasa Melayu,

– Institusi Raja-Raja Melayu,

– Hak Melayu dan Bumiputera,

– serta hak sah kaum lain,

mesti dibincangkan dengan fakta, adab dan rasa tanggungjawab terhadap keamanan negara.

Kerana sejarah telah membuktikan bahawa apabila politik mula membakar emosi kaum secara melampau, negara akhirnya akan terbakar bersama.

13 Mei bukan sekadar sejarah.

Ia adalah amaran.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author