Terkini
GARAH bantah libat urus Suruhanjaya Keharmonian Nasional, Dakwa institusi Islam dipinggir
- Pengerusi Sekretariat GARAH, Firdaus Wong Wai Hung dalam satu kenyataan meluahkan rasa kesal berhubung senarai jemputan sesi libat urus tersebut yang didakwa tidak mencerminkan komposisi sebenar penganut agama di Malaysia dan dilihat tidak seimbang.
- Pihaknya mendapati wakil bagi umat Islam hanyalah minoriti daripada keseluruhan jemputan, selain mempertikaikan ketiadaan penglibatan pemegang taruh institusi agama Islam seperti institusi mufti, masjid dan surau.
- “Sehubungan itu, Sekretariat GARAH menuntut agar sesi libat urus ini dikaji semula dan menegaskan bahawa sebarang usaha untuk memupuk keharmonian nasional mestilah berpaksikan kedaulatan undang-undang serta menghormati titah Raja-Raja Melayu,” katanya.
KUALA LUMPUR – Sekretariat Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) menyatakan bantahan terhadap sesi libat urus cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional (SKN) yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ini di ibu negara.
Pengerusi Sekretariat GARAH, Firdaus Wong Wai Hung dalam satu kenyataan menegaskan, pihaknya mengalu-alukan sebarang inisiatif kerajaan untuk memupuk keharmonian nasional namun melihat penubuhan suruhanjaya tersebut seolah-olah membelakangi dan tidak mengutamakan titah-titah Raja-Raja Melayu.
Jelasnya, ini merujuk kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Selangor dan Sultan Kedah yang sebelum ini menekankan kepentingan mengambil tindakan tegas terhadap pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran demi mengekalkan keharmonian.
“Titah-titah Raja-Raja Melayu di atas menunjukkan ketegangan dan perpecahan keharmonian dalam negara kita adalah disebabkan oleh pelanggaran undang-undang, selaras dengan perjuangan yang selama ini menjadi keutamaan GARAH,” katanya.
Selain itu, Firdaus menambah, GARAH turut meluahkan rasa kesal berhubung senarai jemputan sesi libat urus tersebut yang didakwa tidak mencerminkan komposisi sebenar penganut agama di Malaysia dan dilihat tidak seimbang.
Tegas beliau, pihaknya mendapati wakil bagi umat Islam hanyalah minoriti daripada keseluruhan jemputan, selain mempertikaikan ketiadaan penglibatan pemegang taruh institusi agama Islam seperti institusi mufti, masjid dan surau.
Hal ini ujarnya, berbeza dengan jemputan melibatkan rumah anutan bukan Islam seperti gereja, tokong dan kuil.
“Sehubungan itu, Sekretariat GARAH menuntut agar sesi libat urus ini dikaji semula dan menegaskan bahawa sebarang usaha untuk memupuk keharmonian nasional mestilah berpaksikan kedaulatan undang-undang serta menghormati titah Raja-Raja Melayu,” katanya. – The Merdeka Times