Connect with us

Terkini

‘Full Stop’: Sultan Selangor kekal tolak ladang babi demi lindungi sumber air rakyat

Published

on

Foto: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
  • Baginda turut berpandangan bahawa kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos terlalu tinggi serta tidak praktikal untuk dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Selangor.
  • Selain faktor pencemaran, Baginda berpandangan penternakan babi sama ada berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor memandangkan negeri itu mempunyai sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi.
  • Menurut Baginda, tanah di Selangor sewajarnya dimanfaatkan untuk pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat lebih menyeluruh kepada rakyat.

SHAH ALAM – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegaskan Baginda kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor Darul Ehsan demi menjaga kepentingan rakyat, alam sekitar serta keharmonian negeri.

Menerusi kenyataan media bertarikh 7 Mei 2026, Baginda menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti penternakan babi berpotensi menyebabkan pencemaran tanah, udara dan sumber air sungai akibat pelepasan najis serta sisa kumbahan.

Menurut kenyataan itu, risiko tersebut boleh menjejaskan kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“D.Y.M.M. Sultan Selangor kekal dengan pendirian Baginda seperti yang telah ditegaskan menerusi kenyataan media bertarikh 10 Februari 2026 bahawa Baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor Darul Ehsan,” menurut kenyataan berkenaan.

Baginda turut berpandangan bahawa kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos terlalu tinggi serta tidak praktikal untuk dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Selangor.

Sehubungan itu, Sultan Selangor mencadangkan supaya bekalan daging babi untuk masyarakat bukan Islam di negeri tersebut diperoleh melalui import dari negeri lain seperti Sarawak.

Baginda turut mengambil contoh Singapura yang tidak menjalankan penternakan babi tetapi memenuhi keperluan domestik melalui import dari luar negara.

Selain faktor pencemaran, Baginda berpandangan penternakan babi sama ada berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor memandangkan negeri itu mempunyai sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi.

Menurut Baginda, tanah di Selangor sewajarnya dimanfaatkan untuk pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat lebih menyeluruh kepada rakyat.

Dalam kenyataan sama, Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi di negeri itu dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya atau “full stop” bagi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat terus terpelihara.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author