Connect with us

Terkini

Apa langkah KDN tangani salah guna kuasa dalam tahanan? – Neow Choo Seong

Published

on

Foto: Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong.
  • Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong berkata, gesaan itu dibuat susulan dapatan membimbangkan oleh SUHAKAM berhubung insiden serangan ke atas lebih 100 banduan di Penjara Taiping pada Januari 2025, yang mengakibatkan kematian seorang tahanan, Gan Chin Eng, 61 tahun.
  • “Apa yang paling mengecewakan ialah pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini bercakap dengan lantang mengenai reformasi institusi, hak tahanan dan salah guna kuasa semasa mereka menjadi pembangkang. Hari ini, rakyat berhak mengetahui apakah reformasi konkrit yang sebenarnya telah dilaksanakan memandangkan mereka kini berada dalam kerajaan,” katanya.

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menjelaskan langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menangani isu kekejaman polis, salah guna kuasa dalam tahanan dan salah laku dalam agensi penguatkuasaan di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong berkata, gesaan tersebut dibuat susulan dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung insiden serangan ke atas lebih 100 banduan di Penjara Taiping pada Januari 2025, yang mengakibatkan kematian seorang tahanan, Gan Chin Eng, 61 tahun.

“Pendedahan mengenai kekerasan melampau, salah guna kuasa dan dakwaan laporan polis palsu adalah sangat serius dan tidak boleh diabaikan.

“Apa yang paling mengecewakan ialah pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini bercakap dengan lantang mengenai reformasi institusi, hak tahanan dan salah guna kuasa semasa mereka menjadi pembangkang. Hari ini, rakyat berhak mengetahui apakah reformasi konkrit yang sebenarnya telah dilaksanakan memandangkan mereka kini berada dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan siasatan SUHAKAM, tambah Choo Seong, pegawai penjara didakwa menggunakan kekerasan fizikal secara melampau, termasuk senjata semasa pemindahan banduan dari Dewan B ke Blok E. 

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan testimoni saksi dilaporkan memberikan bukti jelas mengenai salah laku tersebut, manakala pihak pengurusan penjara juga meneruskan pemindahan itu walaupun didakwa mengetahui bahawa Blok E mengalami kerosakan struktur dan keadaan hidup yang tidak selamat.

Pada masa yang sama, Pemuda MCA turut meminta penjelasan daripada Nga Kor Ming selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap bekas Ahli Parlimen Taiping mengenai tindakan yang akan diambil memandangkan insiden serius tersebut berlaku di dalam kawasan parlimen beliau sendiri.

“Sebagai seorang Menteri Kabinet kanan dan bekas Ahli Parlimen Taiping, adakah beliau akan membangkitkan perkara ini secara langsung dengan rakan Kabinetnya, Saifuddin Nasution? Adakah beliau akan mendesak untuk reformasi institusi yang konkrit, akauntabiliti dan keadilan bagi mangsa-mangsa yang terlibat?

“Isu di sini bukan sekadar mengenai satu insiden terpencil. Keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan kita akan terus merosot sekiranya tiada ketelusan, akauntabiliti dan reformasi yang bermakna. Rakyat mesti diyakinkan bahawa salah guna kuasa tidak akan bertolak ansur tanpa mengira pangkat atau jawatan,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Choo Seong menyeru KDN untuk mendedahkan dengan segera status siasatan, tindakan tatatertib dan reformasi institusi susulan dapatan tersebut. 

“Akauntabiliti tidak boleh terhenti pada anggota berpangkat rendah sahaja sekiranya terdapat elemen kecuaian, penyalahgunaan atau cubaan menutup kes yang melibatkan pengurusan kanan.

“Kerajaan mesti membuktikan bahawa janji-janji reformasinya bukan sekadar slogan politik. Keadilan, ketelusan dan akauntabiliti mesti terpakai secara sama rata kepada semua, terutamanya apabila nyawa telah terkorban dalam tahanan,” katanya lagi. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author