Connect with us

Terkini

Pupuk perpaduan : Ajar BM lebih penting, bukan rumah terbuka Aidilfitri di tokong – Ridhuan Tee

Published

on

Foto: Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.
  • Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, perpaduan sebenar tidak terbina sekadar melalui ‘majlis makan-makan’.
  • “(Sebaliknya) Bermula daripada pendidikan dan penguasaan bahasa. Saya sarankan pihak pengurusan tokong mengambil inisiatif untuk mengajar penganut mereka berbahasa Melayu dengan baik.
  • “Apabila mereka menguasai bahasa kebangsaan, barulah interaksi dan komunikasi dengan masyarakat berbilang kaum akan menjadi lebih lancar. Kita tidak boleh menggunakan tiket ‘masyarakat berbilang kaum’ untuk membenarkan semua perkara dilakukan sesuka hati,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Rumah anutan agama lain disaran menganjurkan kelas penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan penganut mereka sebagai langkah yang lebih praktikal dan berkesan untuk memupuk perpaduan, berbanding menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, perpaduan sebenar tidak terbina sekadar melalui majlis makan-makan.

“Asas perpaduan yang sebenar bukanlah melalui majlis makan-makan, tetapi bermula daripada pendidikan dan penguasaan bahasa. Saya sarankan pihak pengurusan tokong mengambil inisiatif untuk mengajar penganut mereka berbahasa Melayu dengan baik.

“Apabila mereka menguasai bahasa kebangsaan, barulah interaksi dan komunikasi dengan masyarakat berbilang kaum akan menjadi lebih lancar. Kita tidak boleh menggunakan tiket ‘masyarakat berbilang kaum’ untuk membenarkan semua perkara dilakukan sesuka hati,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) dilaporkan telah mengarahkan sebuah persatuan tokong Cina untuk membatalkan penganjuran majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dirancang mereka, baru-baru ini.

Langkah itu dilaporkan diambil memandangkan sambutan Aidilfitri merupakan aktiviti keagamaan umat Islam yang tertakluk di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Melalui surat bertarikh 31 Mac, Pengarah JHEAIPP yang dipetik MalayMail, Datuk Marzuki Hassan memaklumkan kepada tokong berkenaan bahawa mereka “tidak dibenarkan” untuk menganjurkan acara tersebut.

Keputusan JHEAIPP itu dilaporkan dibuat selepas menerima aduan daripada Persatuan Anak Jati Melayu Negeri Pulau Pinang  berhubung majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd. Ridhuan yang juga Timbalan Presiden Muafakat Nasional mempersoalkan rancangan penganjuran majlis tersebut di dalam pekarangan tokong. 

Walaupun memuji niat murni untuk menjamu masyarakat, beliau menegaskan bahawa sekiranya penganjur benar-benar ikhlas, majlis tersebut sewajarnya diadakan di ruang awam yang lain. 

Pendekatan ini bukan sahaja lebih menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini, malah membolehkan urusan penyediaan hidangan diserahkan kepada pihak yang berkelayakan bagi menjamin status kebersihan dan kehalalan makanan tanpa menimbulkan sebarang keraguan.

“Serahkan kepada pihak yang kita tidak ada was-was untuk melakukannya. Yang pasti bersih, suci, halal dan sebagainya. Saya rasa itu tidak masalah,” katanya lagi. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author