Connect with us

Terkini

MP Jasin, Harakah mohon maaf kepada Fadhlina Sidek, akui kenyataan fitnah undang salah faham

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.
  • Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail yang membacakan penghakiman persetujuan bersama berkata, pihak defendan mengakui bahawa kenyataan yang dikeluarkan tersebut telah mengundang pelbagai tafsiran dan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap plaintif (Fadhlina) yang menjejaskan nama baik beliau.
  • Ditemui pemberita selepas prosiding, Fadhlina menzahirkan rasa syukur dan lega kerana dapat membersihkan namanya daripada kenyataan fitnah itu.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan akhbar Harakah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Mahkamah Sesyen di sini berhubung kenyataan fitnah terhadap beliau yang dikeluarkan pada 2023.

Zulkifli yang membacakan penghakiman persetujuan bersama berkata, pihak defendan mengakui bahawa kenyataan yang dikeluarkan tersebut telah mengundang pelbagai tafsiran dan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap plaintif (Fadhlina) yang menjejaskan nama baik beliau.

“Oleh yang demikian, kami bersetuju untuk menarik balik sepenuhnya, secara mutlak dan tanpa sebarang syarat kenyataan-kenyataan tersebut,” kata beliau.

Hakim, Hilmiah Yusof kemudian merekodkan penghakiman persetujuan dengan terma penyelesaian yang dinyatakan dalam draf persetujuan dan turut memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar kos berjumlah RM15,000 kepada plaintif.

Fadhlina memfailkan saman fitnah itu terhadap Zulkifli, bekas ketua pengarang Harakah, Mazlan Jusoh dan penerbit akhbar Harakah, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd berhubung dakwaan larangan takbir dan bacaan Qunut Nazilah sempena Minggu Solidariti Palestin.

Hakikatnya, Zulkifli berkata, pihak sekolah dibenarkan untuk membuat laungan takbir dan membaca qunut nazilah ketika Minggu Solidariti Palestin. 

“Maka, kami memohon maaf kepada YB Fadhlina di atas kenyataan-kenyataan tersebut dan bersetuju membayar kos sebanyak RM15,000 kepada YB Fadhlina. 

“Kami juga memberi akujanji kepada mahkamah bahawa kami tidak akan pada bila-bila masa selepas ini mengulangi, menerbitkan semula, menyebarkan atau mengulas kenyataan-kenyataan itu atau apa-apa kenyataan yang sama maksudnya, sama ada secara lisan, bertulis, melalui media sosial, media cetak, media elektronik atau dalam apa jua bentuk sekali pun,” katanya.

Zulkifli berkata, mereka akan mengambil segala langkah yang munasabah dan perlu bagi memastikan semua kenyataan tersebut diturunkan, dipadam dan tidak lagi disebarkan oleh mana-mana pihak di bawah kawalan mereka.

“Kami juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Sesyen, pegawai-pegawai mahkamah dan barisan peguam yang terlibat atas profesionalisme dan budi bicara mereka dalam mengendalikan kes ini,” katanya.

Beliau berharap agar penyelesaian ini dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak, serta tidak dijadikan bahan yang boleh menggugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara.

Terdahulu, peguam, Mohamed Ibrahim Mohamad yang mewakili Fadhlina memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak-pihak telah mencapai penyelesaian dan telah bersetuju dengan penghakiman persetujuan.

“Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan namun saya telah dimaklumkan pihak-pihak telah berjaya menyelesaikan perkara ini secara baik dan saya percaya satu draf penghakiman telah dikemukakan kepada mahkamah,” katanya.

Perkara berkenaan disahkan oleh peguam, Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu mewakili Zulkifli manakala Muhammad Darwisy Roslan dan Afifah Latiff mewakili Mazlan dan Galeri Media Serbanika.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Fadhlina menzahirkan rasa syukur dan lega kerana dapat membersihkan namanya daripada kenyataan fitnah itu.

“Sebenarnya hari ini saya sudah bersedia untuk meneruskan perbicaraan, tetapi saya fikir apabila ada ruang untuk kita mencari penyelesaian dan paling penting adalah untuk membersihkan nama saya…yang saya nak dengar adalah perkataan maaf dan saya dapat hari ini perkataan maaf itu, Alhamdulillah.

“Berkaitan dengan kos itu (RM15,000), saya akan guna sepenuhnya untuk kempen Solidariti Palestin di Jasin. Hari ini saya berpuas hati kerana segala sangkaan buruk kepada saya khususnya tentang larangan takbir dan Qunut Nazilah memberi kesan yang sangat besar.

“Jadi apabila beliau meminta maaf dan semua kenyataan-kenyataan itu ditarik balik, maknanya kenyataan tersebut tidak benar. Itu memberi kelegaan kepada saya kerana nama saya telah bersih sepenuhnya,” katanya.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author