Terkini
Majlis Raya Aidilfitri The Merdeka Times berlangsung meriah, erat silaturahim
- Majlis Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran The Merdeka Times hari ini berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat, termasuk tokoh-tokoh penting dan rakan pengamal media.
- Rata-rata tetamu yang hadir memuji perjuangan The Merdeka Times dan berharap portal ini terus memainkan peranannya dalam memainkan isu-isu penting masyarakat terutama umat Islam
KUALA LUMPUR – Majlis Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran The Merdeka Times hari ini berlangsung meriah di pejabat portal berita ini di Wangsa Maju, di sini.
Majlis yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat, termasuk tokoh-tokoh penting dan rakan pengamal media.
Antara tetamu jemputan yang hadir memberikan sokongan termasuklah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar; Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan Pengerusi Gabungan NGO Islam (Gabung), Aminuddin Yahaya.
Hadir sama, Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar; Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris dan personaliti radio, Abby Fana.
Ketibaan tetamu telah disambut oleh Pengarah The Merdeka Times, Firdaus Wong Wai Hung dan Ketua Editor The Merdeka Times, Finaz Yunus.
Selain menikmati juadah tradisional dalam suasana yang santai, majlis ini turut menjadi ruang bagi para tetamu untuk beramah mesra dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Kehadiran tetamu dengan busana Melayu tradisional menambah lagi seri serta kemeriahan sepanjang majlis berlangsung.
Majlis tahunan ini dilihat sebagai platform terbaik untuk meraikan kebersamaan selari dengan semangat Aidilfitri, selain menghargai sokongan berterusan yang diberikan kepada The Merdeka Times selama ini.
Mohd. Na’im ketika ditemui berkata, beliau berharap agar pertubuhan Multiracial Reverted Muslims (MRM) dan portal berita The Merdeka Times terus memainkan peranan penting dalam membina kesatuan ummah serta menyampaikan mesej dakwah Islamiah yang sebenar kepada masyarakat.
Beliau menekankan keperluan untuk The Merdeka Times tampil sebagai agensi media yang menyajikan berita yang sahih dan dipercayai bagi menangani kekeliruan maklumat dalam masyarakat masa kini.
“Dalam ajaran Islam, kita sangat ditekankan dengan konsep tabayyun (selidik), di mana kita dituntut untuk menyemak kesahihannya terlebih dahulu. Di sinilah The Merdeka Times boleh memainkan peranannya yang tersendiri.
“Meskipun isu dan berita yang dibawa berbentuk kontemporari, The Merdeka Times perlu memastikan setiap maklumat yang disalurkan adalah tepat dan sahih. Ini amat penting kerana kita mahu mendidik masyarakat supaya hanya menerima dan mempercayai berita-berita yang benar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ridhuan ketika ditemui berpendapat, The Merdeka Times merupakan sebuah portal yang menjadi rujukan masyarakat dan mampu melangkah lebih jauh.
Berita-berita portal ini tambah beliau, bersifat bebas (independent) dan pada masa yang sama, tidak kelihatan menyebelahi mana-mana pihak sekali gus mencerminkan asas sebenar dalam dunia pemberitaan.
“Jika kita perhatikan banyak platform media sosial pada hari ini, laporan mereka sering didorong oleh kedudukan atau siapa yang membiayai mereka.
“Akibatnya, berita tersebut hilang sifat kebebasannya dan lebih cenderung untuk melindungi kepentingan pihak tertentu. Saya rasa pendekatan berat sebelah seperti ini adalah tidak wajar dalam landskap dunia media,” katanya.
Sementara itu, bagi Aminuddin, lebih banyak platform media bebas seperti The Merdeka Times diperlukan untuk menyalurkan pandangan alternatif mengenai isu-isu semasa, berbanding hanya bergantung kepada saluran rasmi atau media milik kerajaan.
Oleh itu, beliau yakin dengan peranan The Merdeka Times dan berharap portal ini dapat mengetengahkan lebih banyak isu akar umbi yang benar-benar membelenggu kehidupan harian rakyat.
“Tumpuan tidak seharusnya diberikan semata-mata kepada pergolakan politik. Masalah yang dihadapi oleh rakyat di segenap lapisan masyarakat terlalu banyak dan perlu didengari,” katanya
Dalam pada itu, Rafidah Hanim menyifatkan impak portal The Merdeka Times terhadap masyarakat adalah sangat besar walaupun ia sekadar beroperasi dalam talian.
Menurut beliau, portal tersebut kini menjadi platform yang diyakini ramai, terutamanya dalam kalangan generasi muda serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Namanzee pula menjelaskan, The Merdeka Times dilihat banyak juga menyuarakan isu-isu yang dekat dengan umat Islam.
Menurut beliau, portal berita ini mengupas isu-isu tersebut dengan lebih mendalam.
“The Merdeka Times memberi liputan yang lebih mendalam untuk sesetengah isu dan juga mencungkil lagi perkara-perkara yang menjadi kebimbangan dan kerisauan umat Islam. “Jadi, itu saya lihat satu sisi segmen yang The Merdeka Times mainkan peranannya,” ujarnya. – The Merdeka Times