Connect with us

Terkini

Lelaki di India penggal pemandu isu parkir, maut dibelasah keluarga mangsa

Published

on

  • Seorang penjaja jalanan dilaporkan bertindak nekad memenggal kepala seorang pemandu pikap sebelum ahli keluarga mangsa yang berang membalas dendam dengan membunuh suspek di hadapan pihak polis.
  • Dalam tindakan yang mencetuskan trauma kepada orang awam, suspek dilaporkan memenggal kepala mangsa dan membawanya berarak di hadapan ratusan saksi sebelum meninggalkan mayat dan kepala mangsa di lokasi kejadian.

ARARIA, BIHAR – Daerah Araria, Bihar, gempar susulan kejadian dua pembunuhan ngeri yang berpunca daripada pertikaian kecil mengenai parkir kenderaan semalam.

Dalam insiden tersebut, seorang penjaja jalanan dilaporkan bertindak nekad memenggal kepala seorang pemandu pikap sebelum ahli keluarga mangsa yang berang membalas dendam dengan membunuh suspek di hadapan pihak polis.

Jurucakap polis mengesahkan identiti pemandu yang maut sebagai Ali Hussain, penduduk dari bandar Jogbani. 

Suspek utama yang maut dalam serangan balas dendam pula dikenal pasti sebagai Ravi Chauhan, seorang penjual minuman ‘sattu’.

Kejadian bermula di bandar Forbesganj apabila Chauhan dipercayai menyerang Hussain selepas berlaku perselisihan faham mengenai tempat meletak kenderaan. 

Dalam tindakan yang mencetuskan trauma kepada orang awam, Chauhan dilaporkan memenggal kepala mangsa dan membawanya berarak di hadapan ratusan saksi sebelum meninggalkan mayat dan kepala mangsa di lokasi kejadian.

Berang dengan tindakan kejam tersebut, ahli keluarga Hussain bersama penduduk setempat berjaya menjejaki suspek yang bersembunyi berhampiran rumahnya. 

Suspek kemudian diheret ke lokasi jenayah dan dipukul menggunakan kayu serta rod sehingga mati, meskipun terdapat kehadiran anggota polis di tempat kejadian.

Situasi di kawasan berkenaan dilaporkan semakin tegang sehingga berlaku pergelutan antara pihak polis dan kumpulan perusuh yang marah. 

Susulan itu, pasukan keselamatan tambahan telah dikerahkan bagi melakukan rondaan intensif di sekitar lokasi bagi mengawal keadaan.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kedua-dua insiden sementara keadaan di Forbesganj kekal tegang susulan kejadian tersebut. – The Merdeka Times.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author