Connect with us

Terkini

Isu dakwaan dana zakat: IKRAM beri kerjasama penuh, rehatkan keahlian individu terlibat

Published

on

Foto: Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin.
  • Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin dalam satu kenyataan menegaskan, organisasi itu memandang serius dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa integriti serta amanah merupakan asas utama yang sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja organisasi.
  • Sebagai langkah pentadbiran tanpa prejudis, jelasnya, IKRAM telah mengambil tindakan dengan merehatkan individu yang terlibat daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi berkuat kuasa serta-merta.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) komited memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes salah guna dana zakat yang melibatkan tiga individu di Hulu Selangor baru-baru ini.

Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin dalam satu kenyataan menegaskan, organisasi itu memandang serius dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa integriti serta amanah merupakan asas utama yang sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja organisasi.

Sebagai langkah pentadbiran tanpa prejudis, jelasnya, IKRAM telah mengambil tindakan dengan merehatkan individu yang terlibat daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi berkuat kuasa serta-merta.

“Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses siasatan,” katanya.

Media semalam melaporkan bahawa SPRM Selangor menahan tiga individu termasuk seorang pemimpin kanan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira 230 juta ringgit.

Badlishah Sham berkata, IKRAM akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut.

Segala keputusan dan penjelasan katanya, adalah tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.

Beliau turut menjelaskan bahawa perkara ini melibatkan tindakan individu dan tidak melibatkan organisasi secara langsung. 

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa tindakan tatatertib akan diambil mengikut Perlembagaan IKRAM sekiranya pihak terlibat didapati bersalah.

“IKRAM komited untuk terus menilai dan memperkukuh amalan tadbir urus organisasi agar telus, berintegriti serta selaras dengan tuntutan syarak dan prinsip kedaulatan undang-undang. 

“Semakan dalaman sedang dan akan diteruskan bagi memastikan penilaian yang menyeluruh,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, IKRAM menghargai keprihatinan semua pihak dan memohon agar ruang diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan sewajarnya.“IKRAM kekal berpegang bahawa amanah adalah tanggungjawab besar yang perlu dipelihara dengan penuh integriti dan akan terus diperkukuhkan,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author