Terkini
DAP disaran guna pemimpin Melayu tarik sokongan pengundi Melayu – ADUN Tras, Tengku Zulpuri
- ADUN Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata DAP perlu memberi mandat dan kepercayaan kepada pemimpin Melayu dalam parti itu untuk menyampaikan penerangan secara berterusan kepada masyarakat Melayu.
- “(Ini dilakukan untuk) Memberi kesedaran untuk menyokong, Ianya amat berbeza dengan mempengaruhi seseorang untuk menjadi ahli dalam sebuah badan politik.
- “Lebih-lebih lagi, sentimen agama dan bangsa telah lama tersemai dalam masyarakat Melayu semenjak zaman penjajah lagi,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
KUALA LUMPUR – DAP perlu memberi mandat dan kepercayaan kepada pemimpin Melayu dalam parti itu untuk menyampaikan penerangan secara berterusan kepada masyarakat Melayu
Ahli Jawatankuasa DAP Pahang merangkap ADUN Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, kefahaman politik ini mungkin mengambil masa yang lama.
“(Ini dilakukan untuk) Memberi kesedaran untuk menyokong, Ianya amat berbeza dengan mempengaruhi seseorang untuk menjadi ahli dalam sebuah badan politik.
“Lebih-lebih lagi, sentimen agama dan bangsa telah lama tersemai dalam masyarakat Melayu semenjak zaman penjajah lagi,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Ditanya berhubung kenyataan Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mengenai konsep Malaysian Dream, Tengku Zulpuri menyifatkan dukungan orang Melayu sebagai syarat wajib untuk kestabilan masa depan negara.
“Apa yang dibicarakan Tan Sri Lim Kit Siang adalah realiti yang mesti ada di negara kita.
“Tidak mungkin atau sukar untuk parti DAP (bersama gabungan parti lain menjadi kerajaan) memerintah tanpa ada sokongan orang Melayu itu sendiri kerana mereka terdiri lebih daripada 60 peratus penduduk Malaysia.” katanya.
Beliau berpandangan, Kit Siang cuba menghuraikan berkaitan dengan sejarah negara yang wujud daripada penaklukan berlapis-lapis sehingga kemerdekaan negara pada 1957.
“Di sinilah bermulanya kewujudan masyarakat berbilang kaum dan kita perlu mengakui bahawa sejarah serta kemerdekaan ini adalah milik kita semua, walaupun pada asalnya kaum Melayu adalah kaum pribumi selain Orang Asli dan Orang Asal,” katanya.
Menurutnya, jika perkongsian kuasa serta pengiktirafan hak kaum lain tidak dapat diterima oleh masyarakat Melayu, ia akan menjadi penghalang kepada konsep “Malaysian Dream”.
“Kepercayaan terhadap jati diri perlu diterapkan sejak peringkat sekolah lagi bagi semua lapisan masyarakat,” katanya.
Semalam dilaporkan bahawa Kit Siang menegaskan bahawa kejayaan konsep “Malaysian Dream” bergantung kepada sokongan semua kaum, termasuk orang Melayu sebagai kumpulan majoriti di negara ini.Beliau menjelaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum memerlukan dukungan menyeluruh bagi memastikan aspirasi tersebut dapat direalisasikan. – – The Merdeka Times.