Terkini
(VIDEO) ‘Saya masih hidup’ – Netanyahu muncul dalam video nafi dibunuh Iran
TEL AVIV – Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu tampil menafikan dakwaan kononnya beliau terbunuh dalam satu serangan selepas muncul dalam sebuah video yang dimuat naik di akaun rasmi media sosialnya.
Video yang dimuat naik pada petang Ahad itu dilihat sebagai respons langsung terhadap dakwaan yang tersebar dalam talian, yang menyatakan penjenayah perang itu terbunuh dalam satu serangan.
Dakwaan berkenaan mula tersebar selepas ia dipaparkan oleh agensi berita Iran, Tasnim News Agency, namun laporan tersebut tidak mengemukakan sebarang bukti mengenai serangan yang didakwa berlaku ataupun pengesahan rasmi bahawa Netanyahu mengalami kecederaan.
Dalam video berkenaan, Netanyahu kelihatan mengambil pesanan kopi sebelum individu yang merakam video bertanya mengenai khabar angin kematiannya yang sedang tular.
“Saya suka kopi, saya cintakan negara saya,” kata Netanyahu dalam video itu, menggunakan perkataan slanga Ibrani “met” yang bermaksud “cinta”, tetapi turut mempunyai maksud yang sama dengan perkataan “mati” dalam bahasa tersebut.
Beliau kemudian secara berseloroh meminta individu yang merakam video untuk “mengira jarinya”, sebelum mengangkat kedua-dua tangannya ke arah kamera.
Tindakan itu dipercayai sebagai reaksi terhadap spekulasi dalam talian yang mendakwa video beliau sebelum ini dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan memaparkan enam jari.
Dalam masa sama, Netanyahu turut menyeru rakyat Israel supaya terus mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, termasuk kekal berada berhampiran kawasan perlindungan walaupun ketika keluar dari rumah.
Menurutnya, kekuatan rakyat memberi semangat kepada kerajaan haram, tentera negara itu serta agensi perisiknya untuk terus bertindak.
“Kami sedang melakukan perkara yang tidak boleh saya kongsikan buat masa ini,” katanya, sambil menambah bahawa tentera Israel akan terus melancarkan serangan keras terhadap sasaran di Iran dan Lebanon.
Netanyahu turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Home Front Command serta pihak berkuasa tempatan, sambil menegaskan bahawa sekatan keselamatan hanya akan dilonggarkan apabila keadaan mengizinkan.-The Merdeka Times