Connect with us

Terkini

Serangan AS–Israel ke atas Iran: Jumlah korban dan kecederaan setakat ini

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

Menurut laporan Al-Jazeera, angka awal menunjukkan 555 maut di Iran, sekurang-kurangnya 10 di Israel, empat anggota tentera Amerika Syarikat (AS) serta lima lagi terbunuh di beberapa negara Teluk.

Letupan terus kedengaran memasuki hari ketiga di Iran, Israel dan beberapa negara Asia Barat selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu.

Tehran membalas dengan melancarkan gelombang peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta beberapa pangkalan tentera di Asia Barat yang menempatkan pasukan AS.

Iran sebelum ini memberi amaran bahawa sekiranya ia diserang, negara itu akan menyasarkan kemudahan ketenteraan AS di rantau berkenaan yang dianggapnya sebagai sasaran sah.

Negara mana yang diserang?

Tentera Udara Israel mendakwa telah menggugurkan lebih 1,200 bahan letupan di 24 daripada 31 wilayah Iran dalam tempoh sehari menerusi serangan bersama dengan AS.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pula menyatakan bahawa pihaknya melancarkan serangan terhadap 27 pangkalan di Asia Barat yang menempatkan tentera AS, selain kemudahan ketenteraan Israel di Tel Aviv dan beberapa lokasi lain.

Setakat ini, Iran melancarkan serangan melibatkan sembilan negara iaitu Bahrain, Iraq, Jordan, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Sebuah dron Iran turut dilaporkan mengenai landasan sebuah pangkalan tentera United Kingdom di Cyprus.

Sebahagian besar serangan tersebut dilaporkan berjaya dipintas sistem pertahanan udara negara terlibat.

Berapa ramai yang terbunuh atau cedera?

Berikut adalah angka korban yang disahkan di 12 negara yang terkesan setakat Isnin jam 13:00 GMT. Angka ini tertakluk kepada perubahan berikutan situasi yang masih berlangsung.

Iran – 555 maut, ratusan cedera

Sekurang-kurangnya 555 orang terbunuh dalam serangan bersama AS-Israel ke atas 131 daerah di seluruh Iran, menurut Bulan Sabit Merah Iran.

Insiden paling berdarah berlaku di bandar Minab, tenggara Iran, apabila sebuah sekolah rendah perempuan dilaporkan menjadi sasaran serangan.

Ketua Perhubungan Awam Kementerian Kesihatan Iran, Hossein Kermanpour, berkata serangan ke atas sekolah tersebut mengorbankan kira-kira 180 kanak-kanak perempuan.

Israel – 10 maut, ratusan cedera

Pada Ahad, serangan peluru berpandu balistik Iran ke atas Beit Shemesh di tengah Israel mengorbankan sembilan orang dan mencederakan lebih 20 yang lain.

Pada Sabtu, seorang wanita turut disahkan maut di Tel Aviv akibat terkena serpihan peluru berpandu.

Sekurang-kurangnya 40 bangunan di Tel Aviv mengalami kerosakan akibat serangan Iran.

Tentera AS – 4 maut, 4 cedera

Pada Ahad, tiga anggota tentera AS terbunuh dan lima cedera parah akibat serangan Iran di Kuwait. Tentera AS kemudian mengesahkan seorang lagi anggota maut menjadikan jumlah keseluruhan empat orang.

Komando Pusat AS menyatakan beberapa anggota lain mengalami kecederaan ringan akibat serpihan dan gegaran letupan.

Bahrain – 1 maut, 4 cedera

Peluru berpandu Iran menyasarkan ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Juffair.

Kementerian Dalam Negeri Bahrain mengesahkan seorang pekerja Asia maut selepas serpihan peluru berpandu jatuh ke atas sebuah kapal yang sedang diselenggara.

Iraq – 2 maut, 5 cedera

Pangkalan Jurf al-Sakher di selatan Iraq, yang menempatkan Pasukan Mobilisasi Popular dan kumpulan bersenjata pro-Iran, turut diserang.

Dua pejuang dilaporkan terbunuh dan lima lagi cedera.

Jordan – Tiada korban

Angkatan tentera Jordan memintas 49 dron dan peluru berpandu balistik yang memasuki ruang udara negara itu. Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Kuwait – 1 maut, 32 cedera

Pangkalan Udara Ali al-Salem menjadi sasaran serangan peluru berpandu namun semuanya berjaya dipintas.

Kementerian Kesihatan Kuwait mengesahkan seorang maut dan 32 cedera.

Lubnan – 31 maut, 149 cedera

Serangan udara Israel di Lubnan mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang dan mencederakan 149 yang lain.

Hezbollah melancarkan serangan roket dan dron sebagai tindak balas.

Oman – 1 maut, 5 cedera

Dua dron menyasarkan pelabuhan Duqm, manakala sebuah kapal tangki minyak turut diserang berhampiran Musandam.

Qatar – 0 maut, 16 cedera

Dua peluru berpandu balistik mengenai Pangkalan Al Udeid yang menempatkan tentera AS.

Sebanyak 65 peluru berpandu dan 12 dron berjaya dipintas. Qatar menggantung semua penerbangan buat sementara waktu.

Arab Saudi – Tiada korban

Iran dilaporkan menyasarkan Riyadh dan Wilayah Timur, namun tiada korban dilaporkan setakat ini.

Emiriah Arab Bersatu – 3 maut, 58 cedera

Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan 58 cedera akibat serpihan peluru berpandu dan dron yang dipintas.

Beberapa kemudahan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dan kawasan kediaman berhampiran Lapangan Terbang Zayed turut terjejas.

Kehadiran tentera AS di Asia Barat

Pangkalan tentera As di Asia Barat  telah beroperasi selama beberapa dekad.

Menurut Council on Foreign Relations, AS mempunyai sekurang-kurangnya 19 lokasi ketenteraan di rantau ini, termasuk lapan pangkalan tetap di Bahrain, Mesir, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan UAE.

Sehingga pertengahan 2025, dianggarkan antara 40,000 hingga 50,000 anggota tentera AS ditempatkan di rantau berkenaan, menjadikan kawasan ini antara pusat operasi udara dan laut terpenting bagi Washington.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author