Connect with us

Terkini

Netanyahu arah tingkat serangan 48 jam ke atas Iran, bimbang Trump henti perang

Published

on

Foto: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
  • Arahan itu dibuat selepas kerajaan Netanyahu memperoleh salinan pelan 15 perkara yang dirangka Amerika Syarikat untuk menamatkan perang dan dilaporkan mendapati ia tidak menangani secara memadai program nuklear Iran atau keupayaan peluru berpandu balistiknya.
  • Mengenai pelan yang dilaporkan itu, jurucakap White House, Karoline Leavitt, menggesa supaya berhati-hati, dengan menyatakan beliau telah melihat pelan yang “beredar di media” namun White House tidak pernah mengesahkannya.
  • “Ada unsur kebenaran padanya, tetapi beberapa laporan yang saya baca tidak sepenuhnya tepat,” katanya.

TEL AVIV – Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu, telah mengarahkan pihak tentera untuk mempercepatkan kempen serangan udara terhadap Iran selama 48 jam bagi memusnahkan sebanyak mungkin industri persenjataan negara itu sebelum Washington bergerak ke arah gencatan senjata, lapor New York Times.

Arahan itu dibuat selepas kerajaan Netanyahu memperoleh salinan pelan 15 perkara yang dirangka oleh Amerika Syarikat untuk menamatkan perang dan dilaporkan mendapati ia tidak menangani secara memadai program nuklear Iran atau keupayaan peluru berpandu balistiknya. 

Pegawai Israel bimbang Presiden AS, Donald Trump, boleh mengumumkan rundingan damai pada bila-bila masa, menurut laporan tersebut yang dipetik Anadolu.

Mengenai pelan yang dilaporkan itu, jurucakap White House, Karoline Leavitt, menggesa supaya berhati-hati, dengan menyatakan beliau telah melihat pelan yang “beredar di media” namun White House tidak pernah mengesahkannya. 

“Ada unsur kebenaran padanya, tetapi beberapa laporan yang saya baca tidak sepenuhnya tepat,” katanya.

Netanyahu mengeluarkan arahan itu semasa mesyuarat di ibu pejabat tentera pada hari Selasa, selepas menerima taklimat daripada komander kanan mengenai sasaran yang masih berpotensi diserang.

Menurut lima pegawai keselamatan negara Israel yang dipetik oleh New York Times, desakan untuk bertindak pantas mencerminkan kekangan asas yang dihadapi Israel dalam konflik tersebut. 

Keputusan untuk menamatkan perang sepenuhnya terletak di tangan Trump, sekali gus mengehadkan pengaruh Netanyahu terhadap penamat konflik itu.

Sementara itu, pegawai Israel masih berpecah pandangan. Ada yang mahukan sekurang-kurangnya seminggu lagi untuk menyasarkan lebih banyak sasaran, manakala yang lain menyokong penamatan lebih awal. 

Tiga pegawai, menurut laporan itu, menyatakan bahawa pencapaian ketenteraan paling ketara berlaku pada minggu pertama, dengan kebimbangan semakin meningkat terhadap pandangan antarabangsa, kos kewangan perang serta tekanan psikologi dan fizikal yang semakin dirasai rakyat Israel. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author