Connect with us

Terkini

(VIDEO) Tiga lelaki Muslim diserang ketika kutip zakat di India

Published

on

Foto: Tangkap layar klip video tersebut.

MEERUT – Seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan polis selepas satu video tular yang memaparkan tiga lelaki Muslim didakwa diserang di pekan Ruadayan, daerah Badaun, Uttar Pradesh mencetuskan kemarahan di media sosial.

Dalam rakaman video berkenaan, tiga lelaki dikenali sebagai Abdul Salam, 60; Mohd Arif, 35; dan Javed Khan, 55 masing-masing penduduk Mohiddinpur di bawah kawasan Sahsawan Kotwali dilihat berada di kawasan tersebut sempena Ramadan untuk mengutip zakat.

Menurut laporan, ketiga-tiga mereka sedang bertanyakan arah ke kawasan penempatan Muslim dan laluan ke lebuh raya ketika kejadian berlaku.

Polis memaklumkan suspek, Akshay Kumar, 24, yang menunggang skuter, menghentikan ketiga-tiga lelaki berkenaan dan bertanyakan nama mereka.

Suspek didakwa menanggalkan kopiah Javed, menampar mereka berulang kali serta mengejar mereka hampir 500 meter sambil mengeluarkan kata-kata kesat dan mempersoalkan tujuan kehadiran mereka.

Abdul Salam mendakwa insiden itu berlaku pada 16 Februari ketika mereka sedang mendapatkan sumbangan untuk sebuah madrasah.

“Apabila kami beritahu tujuan kami mengutip derma, dia mula memaki hamun dan menyerang kami,” katanya.

Beliau mendakwa mereka tidak membuat laporan segera kerana bimbang terhadap stigma sosial dan meminta rakan-rakan lain berdiam diri mengenai kejadian tersebut.

Bagaimanapun, dua hari kemudian, video kejadian berkenaan tersebar di media sosial bersama lagu yang mengandungi slogan provokatif.

Selepas melihat video itu tular, mereka tampil membuat laporan polis.

Salam turut memaklumkan bahawa kawasan berkenaan mempunyai kira-kira 700 keluarga Muslim dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, sambil menegaskan bahawa tiada sesiapa seharusnya menjadi sasaran berdasarkan penampilan atau identiti agama.

Ketua Polis Badaun, SP Brijesh Kumar Singh berkata pihaknya telah mendaftarkan Laporan Maklumat Pertama (FIR) di bawah Seksyen 115(2) (menyebabkan kecederaan secara sukarela), 351(3) dan 352 (ugut jenayah) di bawah Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS).

Suspek telah ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, Parti Kongres Uttar Pradesh memuat naik video kejadian tersebut di platform X dan mengkritik kerajaan negeri, mendakwa serangan terhadap golongan minoriti semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author