Connect with us

Terkini

Suspek serangan Bondi muncul di mahkamah buat kali pertama sejak tragedi

Published

on

Foto: Serangan tembakan yang mengorbankan 15 orang.
  • Akram hadir melalui pautan video dari penjara Supermax Goulburn semasa perbicaraan di Mahkamah Tempatan Downing Centre di Sydney.
  • Ketika perbicaraan, Akram kelihatan tanpa emosi ketika menjawab secara ringkas soalan daripada Timbalan Ketua Majistret, Sharon Freund.
  • Suspek penembak Bondi itu didakwa dengan 15 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh, satu pertuduhan melakukan tindakan keganasan dan satu pertuduhan melepaskan tembakan dengan niat.

SYDNEY – Suspek serangan Bondi, Naveed Akram, hadir di mahkamah buat pertama kali sejak serangan 14 Disember.

Akram hadir melalui pautan video dari penjara Supermax Goulburn semasa perbicaraan di Mahkamah Tempatan Downing Centre di Sydney pada hari Isnin.

Ini merupakan kali pertama beliau dilihat secara terbuka sejak ditangkap.

Suspek penembak Bondi itu didakwa dengan 15 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh, satu pertuduhan melakukan tindakan keganasan dan satu pertuduhan melepaskan tembakan dengan niat.

Beliau juga didakwa dengan satu pertuduhan memaparkan simbol keganasan yang dilarang dan satu pertuduhan menyebabkan bahan letupan diletakkan berhampiran atau di tempat awam.

Ketika perbicaraan, Akram kelihatan tanpa emosi ketika menjawab secara ringkas soalan daripada Timbalan Ketua Majistret, Sharon Freund.

Beliau muncul di skrin memakai pakaian penjara berwarna hijau dengan kepala yang dicukur pendek dan jambang yang panjang.

Freund bertanya: “Adakah kamu dengar apa yang baru berlaku?”

Akram menjawab: “Ya.”

“Peguam kamu akan menghubungi kamu?” tanya Freund, dan Akram menjawab: “Ya.”

Di luar mahkamah, wartawan kanan Sky News, Caroline Marcus, bercakap dengan peguam Akram, Ben Archbold.

“Dia berada dalam keadaan sebaik yang boleh dijangkakan,” kata Archbold mengenai anak guamnya.

Marcus bertanya sama ada Akram telah menyatakan sebarang hasrat mengenai pengakuannya.

Menurut Archbold, berkata beliau akan mengetahui lebih lanjut selepas menerima ringkasan bukti daripada Pejabat Pendakwa Raya Komanwel.

“Pada peringkat ini ia masih awal. Kami akan tahu lebih lanjut pada 8 April,” katanya.

Peguam itu turut mendedahkan bahawa beliau telah melawat Akram di penjara Supermax Goulburn.

“Dia hanyalah seorang anak guam yang perlu diwakili dan kami tidak membiarkan pandangan peribadi kami mengganggu tanggungjawab profesional kami,” katanya kepada Marcus.

Akram dituduh melakukan serangan keganasan itu bersama bapanya, Sajid, 50, yang ditembak mati oleh polis semasa serangan tersebut.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa Akram dan bapanya didakwa memiliki tiga bom paip dan satu bom bola tenis. Bom-bom tersebut tidak meletup.

Semasa perbicaraan hari Isnin, mahkamah melanjutkan perintah larangan penerbitan terhadap identiti beberapa mangsa yang cedera dalam serangan itu.

Kes ini akan disebut semula di mahkamah pada 9 Mac. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author