Terkini
Isteri Noam Chomsky dakwa suami ‘dimanipulasi’ Jeffrey Epstein
- Menurut isteri kepada intelektual Amerika, Noam Chomsky – Valeria Wasserman, Epstein memperkenalkan diri sebagai dermawan sains dan pakar kewangan, sekali gus menarik minat Chomsky untuk berkomunikasi dengannya tanpa mengetahui latar belakang sebenar.
- Wasserman menegaskan bahawa mereka tidak pernah mengunjungi pulau milik Epstein dan tidak pernah menyaksikan sebarang tingkah laku tidak wajar sepanjang pertemuan profesional mereka di New York, Paris atau di ladang Epstein.
Isteri kepada intelektual Amerika, Noam Chomsky, mendakwa suaminya telah diperangkap oleh Jeffrey Epstein, susulan pendedahan dokumen terbaharu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) minggu lalu.
Dokumen yang didedahkan itu menunjukkan Chomsky, 97, pernah memberi nasihat kepada Epstein pada Februari 2019 beberapa bulan sebelum jutawan itu ditemui mati di dalam sel penjara di New York berhubung cara menangani liputan media yang dianggap kejam terhadapnya.
Chomsky dilapor mencadangkan agar Epstein mengabaikan kritikan tersebut.
Epstein sebelum ini mengaku bersalah pada tahun 2008 atas pertuduhan mendapatkan khidmat pelacuran daripada seorang bawah umur di Florida.
Fail tersebut juga mendedahkan bahawa pada 2016, Chomsky memaklumkan kepada Epstein bahawa beliau berfantasi tentang pulau Caribbean serta meminta untuk bertemu bekas Ketua Strategi Rumah Putih, Steve Bannon.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada kenyataan itu merujuk kepada pulau persendirian milik Epstein di Caribbean yang didakwa menjadi lokasi eksploitasi seksual wanita dan remaja bawah umur.
Dalam kenyataan pada Sabtu, isteri Chomsky, Valeria Wasserman, memaklumkan bahawa suaminya kini berdepan cabaran kesihatan serius selepas mengalami strok teruk pada Jun 2023 dan berada di bawah penjagaan perubatan 24 jam serta tidak mampu bertutur atau terlibat dalam wacana awam.
Wasserman menjelaskan bahawa beliau dan Chomsky diperkenalkan kepada Epstein pada 2015 dalam satu acara profesional, ketika sabitan kes Epstein pada 2008 belum diketahui umum secara meluas.
Menurutnya, Epstein memperkenalkan diri sebagai dermawan sains dan pakar kewangan, sekali gus menarik minat Chomsky untuk berkomunikasi dengannya tanpa mengetahui latar belakang sebenar.
Beliau mengakui Epstein menghantar hadiah serta mewujudkan peluang perbincangan akademik sebagai strategi untuk mendekati Chomsky dan berusaha menjejaskan perjuangan intelektual yang dibawanya.
Wasserman menegaskan bahawa mereka tidak pernah mengunjungi pulau milik Epstein dan tidak pernah menyaksikan sebarang tingkah laku tidak wajar sepanjang pertemuan profesional mereka di New York, Paris atau di ladang Epstein.
Tambahnya, hanya selepas penahanan kedua Epstein pada 2019 barulah mereka menyedari sepenuhnya tahap dan keseriusan jenayah yang dilakukan terhadap wanita dan kanak-kanak.
Wasserman menegaskan bahawa mereka mengiktiraf penderitaan mangsa dan menyatakan solidariti penuh terhadap semua mangsa jenayah tersebut.-The Merdeka Times