Terkini
India: Bihar ketatkan jualan daging sebelum Ramadan
- Timbalan Ketua Menteri Bihar, Vijay Kumar Sinha, mengumumkan keputusan tersebut pada 16 Februari lalu, sambil menegaskan bahawa penjualan daging di tepi jalan atau ruang terbuka tidak lagi dibenarkan.
- Kedai daging kini diwajibkan menggunakan langsir atau kaca gelap bagi menghalang paparan daging daripada pandangan umum, selain pemantauan dipertingkatkan oleh pihak berkuasa tempatan.
PATNA – Kerajaan negeri Bihar di India menguatkuasakan larangan ketat terhadap penjualan daging secara terbuka di seluruh negeri itu, hanya beberapa hari sebelum ketibaan bulan Ramadan, dengan hanya peniaga berlesen dibenarkan beroperasi di bawah peraturan yang lebih ketat.
Timbalan Ketua Menteri Bihar, Vijay Kumar Sinha, mengumumkan keputusan tersebut pada 16 Februari lalu, sambil menegaskan bahawa penjualan daging di tepi jalan atau ruang terbuka tidak lagi dibenarkan.
Mana-mana pihak yang melanggar peraturan akan berdepan tindakan tegas.
Beliau menjelaskan di Dewan Perundangan Negeri bahawa lesen sah kini diwajibkan bagi semua penjual daging.
“Hanya peniaga berlesen boleh menjalankan perniagaan mengikut peraturan. Penjualan daging secara terbuka di mana-mana lokasi di negeri ini adalah dilarang,” katanya.
Langkah tersebut diambil susulan aduan penduduk, khususnya yang dibangkitkan dalam satu sesi dialog awam di Darbhanga, di mana sebahagian penduduk mendakwa gerai daging di tepi jalan menghalang orang ramai daripada menggunakan laluan tertentu.
Kerajaan negeri menyatakan dasar itu penting bagi menjaga kebersihan awam, kesihatan, tahap sanitasi serta ketenteraman sosial.
Kedai daging kini diwajibkan menggunakan langsir atau kaca gelap bagi menghalang paparan daging daripada pandangan umum, selain pemantauan dipertingkatkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Bagaimanapun, pelaksanaan dasar itu yang bertepatan dengan ketibaan Ramadan yang mana tempoh permintaan terhadap daging lazimnya meningkat menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti minoriti Muslim di negeri berkenaan.
Ramai peniaga kecil yang bergantung kepada perniagaan tersebut untuk sumber pendapatan bimbang akan berdepan kesukaran ekonomi.
Seorang penjual daging di Patna yang enggan dikenali berkata mereka menerima peraturan baharu itu, namun kerajaan perlu memberi masa dan bantuan kepada peniaga kecil yang kekurangan sumber untuk menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak.
Sebahagian pihak turut mempersoalkan sama ada arahan tersebut mampu mengurangkan insiden gangguan oleh kumpulan vigilante seperti yang pernah didakwa sebelum ini, dengan suara pembangkang turut menyuarakan kebimbangan sama.
Dasar Bihar itu dilihat menyerupai sekatan yang dilaksanakan di negeri seperti Uttar Pradesh, di mana paparan terbuka daging turut dilarang dan premis diwajibkan menggunakan kaca gelap atau langsir tebal.
Kerajaan negeri menegaskan langkah tersebut bertujuan mengawal selia, bukannya mengharamkan penjualan daging, selain mengelakkan sebarang sentimen agama atau sosial terusik.
Namun, pemimpin komuniti menekankan kepentingan pelaksanaan secara adil tanpa diskriminasi, termasuk melalui rundingan dengan peniaga serta proses pelesenan yang lebih mudah.-The Merdeka Times