Terkini
Global Sumud Flotilla desak Mesir buka laluan darat ke Gaza
- Dalam permohonan rasmi kepada kerajaan Mesir, gabungan itu meminta kebenaran untuk membawa masuk konvoi bantuan melalui wilayah Mesir.
- Menurut perancangan, konvoi tersebut akan memasuki Mesir melalui pintu sempadan Libya–Mesir, sebelum merentasi negara itu dan menuju ke pintu sempadan Rafah.
GAZA – Gabungan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menggesa kerajaan Mesir supaya memberi kebenaran segera bagi satu konvoi bantuan kemanusiaan darat ke Gaza, ketika wilayah itu berdepan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing akibat sekatan berterusan oleh Israel.
Seruan itu dibuat susulan tindakan Israel yang terus mengetatkan sekatan akses serta menghalang operasi pertubuhan bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung tersebut.
Gaza kini berdepan kekurangan kritikal bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan perlindungan, selimut dan keperluan asas lain, terutama dalam keadaan musim sejuk yang semakin teruk.
GSF berkata, sekatan berterusan dan serangan yang masih berlaku terus memburukkan penderitaan orang awam, sekali gus meningkatkan risiko kehilangan nyawa.
Dalam permohonan rasmi kepada kerajaan Mesir, gabungan itu meminta kebenaran untuk membawa masuk konvoi bantuan melalui wilayah Mesir.
Menurut perancangan, konvoi tersebut akan memasuki Mesir melalui pintu sempadan Libya–Mesir, sebelum merentasi negara itu dan menuju ke pintu sempadan Rafah.
Bagaimanapun, GSF memaklumkan bahawa pintu sempadan Rafah yang sepatutnya dibuka semula di bawah pengaturan gencatan senjata yang dicapai tahun lalu masih kekal ditutup oleh Israel, sekali gus menghalang penghantaran bantuan secara konsisten dan boleh dipercayai.
Agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kemanusiaan berulang kali menggesa agar semua sekatan terhadap kemasukan bantuan ke Gaza ditarik balik, sambil memberi amaran bahawa kelewatan berterusan akan menyebabkan lebih banyak kehilangan nyawa.
GSF berkata, permohonan itu dibuat berlandaskan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta langkah sementara) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Menurut gabungan itu, konvoi darat berkenaan bertujuan menghantar bekalan menyelamatkan nyawa, termasuk makanan, ubat-ubatan, selimut dan barangan keperluan asas lain, bagi menangani keperluan mendesak di lapangan.
Permohonan tersebut dibuat susulan pengumuman GSF mengenai rancangan misi flotila musim bunga yang dijangka menghimpunkan lebih 3,000 sukarelawan kemanusiaan dari seluruh dunia.
Misi itu bertujuan mencabar kepungan Israel ke atas Gaza serta menyokong usaha pembinaan semula wilayah tersebut.
Bagaimanapun, GSF memaklumkan bahawa keadaan laut semasa menghalang pelaksanaan misi maritim lebih awal.
“Keadaan laut mengehadkan keupayaan kami untuk bergerak lebih awal melalui laluan air, tetapi keperluan di Gaza adalah segera,” kata anggota Jawatankuasa Pemandu GSF, Marouan Ben Guettaia.
“Konvoi ini merupakan cara untuk bertindak sekarang.” -The Merdeka Times