Connect with us

Terkini

Demokrat tuduh AS ‘curi’ minyak Venezuela

Published

on

Foto: Senator Chris Murphy dari Connecticut.
  • Rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil kawalan hasil penjualan minyak Venezuela menerima tentangan hebat daripada ahli politik Demokrat, selepas dakwaan bahawa langkah itu seolah-olah mencuri sumber negara itu.
  • Senator Chris Murphy dari Connecticut melabelkan cadangan itu sebagai tidak masuk akal dan pentadbiran AS bercakap tentang mencuri minyak Venezuela dengan ancaman senjata untuk tempoh masa yang tidak ditentukan sebagai “leverage” untuk mengurus semula negara itu.

WASHINGTON – Rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil kawalan hasil penjualan minyak Venezuela menerima tentangan hebat daripada ahli politik Demokrat, selepas dakwaan bahawa langkah itu seolah-olah mencuri sumber negara itu.

Senator Chris Murphy dari Connecticut melabelkan cadangan itu sebagai tidak masuk akal.

Beliau memberitahu pemberita bahawa pentadbiran AS bercakap tentang mencuri minyak Venezuela dengan ancaman senjata untuk tempoh masa yang tidak ditentukan sebagai leverage untuk mengurus semula negara itu.

Skop dan tindakan tersebut, kata Murphy, “amat mengejutkan”.

Venezuela mempunyai antara rizab minyak terbukti terbesar di dunia, namun bertahun-tahun penyusutan pelaburan, pengurusan lemah dan sekatan AS telah melemahkan pengeluarannya kepada hanya kira-kira satu juta tong sehari kurang daripada 1 peratus daripada pengeluaran global.

Bekalan minyak yang sebelum ini menjadi sumber utama pendapatan kepada kerajaan Venezuela kini kebanyakannya dieksport ke China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun aliran ini juga terganggu pada beberapa bulan lalu setelah AS meningkatkan tindakan terhadap kapal tangki Venezuela sebagai sebahagian daripada tekanan terhadap kerajaan Presiden Nicolás Maduro.

Pada Rabu, Menteri Luar China secara terbuka mengecam tindakan AS terhadap Maduro dan rancangan AS untuk mengambil kawalan ke atas sumber minyak Venezuela, yang mencetuskan ketegangan diplomatik antara kuasa besar.

AS dijadualkan mengadakan pertemuan dengan eksekutif industri minyak di Rumah Putih pada hari ini, bagi membincangkan strategi pelaksanaan pelan tersebut.

Penganalisis berkata dalam jangka pendek, syarikat minyak AS seperti Chevron, bersama kilang penapisan AS yang direka untuk memproses minyak mentah jenis berat yang menjadi ciri output Venezuela, berada dalam kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan aliran minyak.

Chevron kini merupakan satu-satunya syarikat minyak besar AS yang masih beroperasi di Venezuela, walaupun beberapa firma Eropah masih mempunyai kehadiran di negara itu.

Pengalihan minyak Venezuela ke pasaran AS juga berpotensi memberi tekanan kepada pengeluar lain seperti Mexico dan Kanada, yang menghasilkan minyak serupa dan kini menjadi pembekal utama kepada kilang penapisan AS.

Harga minyak dunia, yang sudah pun berada pada paras rendah berikutan bekalan stabil dan jangkaan permintaan yang sederhana, jatuh lagi minggu lalu berikutan spekulasi bahawa Venezuela mungkin mendapat akses lebih besar kepada pasaran global.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author