Antarabangsa
BDS gesa boikot Chevron/Caltex, dakwa bekal tenaga kepada Israel
- Kumpulan Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) menggesa orang ramai memboikot syarikat tenaga gergasi Amerika Syarikat, Chevron, yang didakwa menjadi antara pihak utama yang menyumbang kepada kelangsungan “mesin perang” Israel menerusi penguasaan sektor tenaga dan hasil keuntungan daripada operasi gas asli di perairan berhampiran wilayah Palestin yang dijajah.
- BDS mendakwa sekatan laut tentera Israel di perairan Gaza bukan sahaja mengukuhkan pengepungan, malah berperanan melindungi operasi pelantar luar pesisir, dengan tenaga daripada medan gas yang dikaitkan Chevron digunakan untuk menghidupkan pangkalan tentera, penjara serta penempatan haram Israel.
Kumpulan Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) menggesa orang ramai memboikot syarikat tenaga gergasi Amerika Syarikat, Chevron, yang didakwa menjadi antara pihak utama yang menyumbang kepada kelangsungan “mesin perang” Israel menerusi penguasaan sektor tenaga dan hasil keuntungan daripada operasi gas asli di perairan berhampiran wilayah Palestin yang dijajah.
Menurut kenyataan BDS, Chevron didakwa sebagai pengeluar terbesar gas asli yang dikaitkan dengan Israel, selain memperoleh manfaat melalui operasi dan pemilikan bersama medan-medan gas utama di luar pesisir pantai tanah Palestin yang diduduki.
Dalam gesaan sama, BDS turut mendakwa Chevron merupakan satu-satunya syarikat bahan api fosil Amerika Syarikat yang kini beroperasi di Venezuela, dan syarikat itu didakwa mendapat keuntungan apabila harga sahamnya meningkat susulan tindakan agresif Amerika Syarikat terhadap negara berkenaan.
“Chevron menyemarakkan pencerobohan imperialis, dari Venezuela hingga ke Palestin,” menurut BDS sambil mendakwa keuntungan korporat menjadi penggerak kepada era baharu yang kuat menindas yang lemah, dipimpin oleh paksi Amerika Syarikat dan Israel.
Gesaan itu turut mendakwa pengaruh Chevron ke atas dasar serta tindakan Washington dan Tel Aviv tidak dapat dinafikan, termasuk dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Chevron, Mike Wirth, melobi bekas Presiden AS Donald Trump untuk memperbaiki kedudukan syarikat itu di Venezuela.
Selain itu, gerakan berkenaan turut mendakwa sekatan laut tentera Israel di perairan Gaza bukan sahaja mengukuhkan pengepungan, malah berperanan melindungi operasi pelantar luar pesisir, dengan tenaga daripada medan gas yang dikaitkan Chevron digunakan untuk menghidupkan pangkalan tentera, penjara serta penempatan haram Israel.
BDS juga mendakwa Chevron memberi tekanan kuat kepada Amerika Syarikat dan Israel agar memuktamadkan perjanjian gas Israel-Mesir yang kontroversi, sekali gus memperkukuh cengkaman syarikat itu dalam landskap tenaga serantau.
Gesaan tersebut menegaskan bahawa Chevron bukan pemain baharu dalam dakwaan eksploitasi, sebaliknya mempunyai rekod panjang pelanggaran hak asasi manusia dan penindasan di pelbagai negara di dunia, termasuk dari Ecuador hingga Nigeria.
Sehubungan itu, BDS menegaskan mereka tidak akan menyerahkan hak, tanah dan masa depan kepada para eksekutif bahan api fosil, selain menyeru masyarakat antarabangsa menyertai kempen “Boycott Chevron”.
Untuk rekod, Caltex ialah jenama stesen minyak yang berada di bawah syarikat Chevron, di mana Caltex digunakan sebagai jenama runcit bagi produk bahan api seperti petrol dan diesel di beberapa negara, khususnya di rantau Asia-Pasifik.-The Merdeka Times