Terkini
(VIDEO) Rakyat zionis Israel rempuh warga Palestin sedang solat
TEBING BARAT — Rakaman video yang diterbitkan media Palestin pada Khamis memaparkan seorang peneroka Israel, bersenjatakan raifal yang disandang di belakang, merempuh seorang lelaki Palestin yang sedang menunaikan solat di tepi jalan menggunakan kenderaan semua medan (ATV).
Insiden itu dilaporkan berlaku berhampiran kampung Deir Jarir, di utara Ramallah, dalam wilayah Tebing Barat.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan individu Israel yang dirakam dalam video tersebut merupakan seorang anggota tentera simpanan. Menurut IDF, senjatanya telah dirampas dan perkhidmatan ketenteraannya digantung sementara siasatan dijalankan.
Rakaman tanpa audio itu menunjukkan mangsa Palestin terjatuh dan terbaring di atas jalan selepas dirempuh, sebelum peneroka berkenaan turun daripada ATV dan menjerit ke arahnya sambil memberi isyarat supaya mangsa meninggalkan kawasan tersebut.
Peneroka itu kemudiannya dilihat berjalan ke arah sebuah teksi Palestin dan menengking pemandunya, sebelum kembali menaiki ATV dan memandu pergi dari lokasi kejadian.
Menurut pihak tentera Israel, siasatan awal turut mendapati anggota simpanan yang sama telah melepaskan tembakan lebih awal di dalam kawasan kampung berkenaan ketika memakai pakaian awam.
IDF kononnya menyifatkan tindakan tersebut sebagai “pelanggaran serius terhadap bidang kuasanya,” sekali gus mencetuskan siasatan rasmi terhadap tingkah laku anggota simpanan terbabit.-The Merdeka Times