Terkini
Tucker Carlson salahkan Israel pupuk ketakutan terhadap Muslim
- Personaliti media konservatif Amerika Syarikat, Tucker Carlson, menyifatkan ketakutan terhadap apa yang dilabel sebagai “Islam radikal” di Amerika Syarikat sebagai keterlaluan dan tidak berasaskan realiti, malah mendakwa ia dipupuk oleh kerajaan Israel dan penyokongnya.
- “Saya tidak mengenali sesiapa di Amerika Syarikat dalam tempoh 24 tahun yang dibunuh oleh Islam radikal. Tetapi saya mengenali ramai yang membunuh diri, mati akibat dadah, kehilangan pekerjaan dan kehidupan mereka musnah,” katanya.
- Apabila ditanya dari mana datangnya sentimen tersebut, Carlson secara terbuka mendakwa ia berpunca daripada Kerajaan Israel serta penyokong dan “kakitangan tidak rasmi” mereka di Amerika Syarikat, yang menurutnya bertujuan mempengaruhi rakyat AS supaya melihat musuh Israel sebagai musuh mereka sendiri.
WASHINGTON — Personaliti media konservatif Amerika Syarikat, Tucker Carlson, menyifatkan ketakutan terhadap apa yang dilabel sebagai “Islam radikal” di Amerika Syarikat sebagai keterlaluan dan tidak berasaskan realiti, malah mendakwa ia dipupuk oleh kerajaan Israel dan penyokongnya.
Dalam satu wawancara yang diterbitkan oleh The American Conservative pada Jumaat, bekas hos Fox News itu berkata beliau tidak mengenali sesiapa di Amerika Syarikat yang dibunuh akibat “Islam radikal” dalam tempoh 24 tahun kebelakangan ini, dipercayai merujuk kepada tempoh selepas serangan 11 September 2001.
“Saya tidak mengenali sesiapa di Amerika Syarikat dalam tempoh 24 tahun yang dibunuh oleh Islam radikal. Tetapi saya mengenali ramai yang membunuh diri, mati akibat dadah, kehilangan pekerjaan dan kehidupan mereka musnah,” katanya.
Carlson turut mendakwa masalah sebenar yang memusnahkan kehidupan berjuta-juta rakyat Amerika bukanlah keganasan berasaskan Islam, sebaliknya isu sosial dan budaya seperti ketagihan dadah, pengaruh permainan video serta penggunaan ubat preskripsi secara melampau.
Beliau juga mencetuskan kontroversi apabila menyatakan bahawa satu platform digital tertentu yang tidak dinamakan secara jelas merupakan ancaman lebih besar berbanding “Islam radikal”, dengan dakwaan ia telah merosakkan struktur sosial masyarakat Amerika.
“Itu bukan dilakukan oleh Islam radikal. Sesiapa yang percaya kepada pembohongan itu, saya rasa kasihan kepada mereka. Ia langsung tidak mencerminkan realiti kehidupan mana-mana individu yang pernah saya temui di Amerika Syarikat,” katanya sambil menyifatkan naratif ketakutan tersebut sebagai “tidak masuk akal”.
Kenyataan Carlson dibuat sebagai reaksi terhadap keputusan satu tinjauan tidak rasmi (straw poll) yang dijalankan pada persidangan Turning Point USA awal bulan ini, di mana majoriti peserta konservatif menyifatkan “Islam radikal” sebagai ancaman terbesar kepada Amerika Syarikat.
Apabila ditanya dari mana datangnya sentimen tersebut, Carlson secara terbuka mendakwa ia berpunca daripada Kerajaan Israel serta penyokong dan “kakitangan tidak rasmi” mereka di Amerika Syarikat, yang menurutnya bertujuan mempengaruhi rakyat AS supaya melihat musuh Israel sebagai musuh mereka sendiri.
Kenyataan terbaharu itu bagaimanapun dilihat bercanggah dengan pendirian Carlson sebelum ini.
Pada 2017, beliau pernah menyatakan bahawa keganasan adalah “tidak dapat dielakkan” di Eropah berikutan peningkatan populasi Muslim.
Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau dilaporkan mengecam Islamofobia dan menyifatkannya sebagai menjijikkan dalam ucapan di persidangan sama.
Pandangan Carlson mencetuskan reaksi bercampur-campur dalam kalangan kelompok konservatif.
Pengkritiknya menuduh beliau memperkecilkan ancaman keganasan ekstremis Islam, termasuk serangan seperti pengeboman Maraton Boston dan serangan di kelab malam Pulse. Personaliti politik konservatif, Meghan McCain, secara sinis mengkritiknya di media sosial.
Namun, Carlson turut menerima sokongan, termasuk daripada bekas anggota Kongres Republikan, Marjorie Taylor Greene, yang secara terbuka mempertahankan persahabatannya dengan beliau dan mengkritik pihak yang menyerang Carlson dari sayap kanan.-The Merdeka Times